TNB Raih Anugerah Peringkat Asia Pasifik


KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Bhd (TNB) memenangi Anugerah Pengurusan Risiko Asia-Pasifik 2017 yang julung kali diadakan, bagi kategori "Pasukan Terbaik Tahun Ini" dalam majlis yang berlangsung di Singapura baru-baru ini. 

Anugerah berkenaan sekali gus mengiktiraf komitmen kukuh syarikat utiliti nasional itu terhadap pengurusan risiko ketika ia melaksanakan perluasan di peringkat global, menurut TNB dalam satu kenyataan hari ini. 

Ketua Pegawai Risiko TNB, Datuk Ir Lim Tong Kang, yang mewakili TNB pada acara itu berkata, anugerah itu juga adalah pengiktirafan kepada usaha kenal pasti, penilaian dan pengurangan risiko sebagai saranan nilai tambah kepada syarikat. 

Acara paling berprestij bagi industri pengurusan risiko itu memberi pengiktirafan kepada komuniti risiko terbaik di rantau berkenaan. 

Ia dianjurkan oleh StrategicRISK, penyedia laporan berita dan pandangan mengenai tadbir urus risiko dan korporat terkemuka untuk syarikat di seluruh Eropah dan Asia. 

TNB turut menerima penghargaan istimewa bagi Program Risiko Perusahaan Terbaik Tahun Ini semasa acara yang sama. - BERNAMA