TPM Lawat Semula Projek ICQS Bukit Kayu Hitam


ALOR SETAR  - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan bersama umat Islam berbuka puasa dan solat berjemaah di Taman Uda di sini dan di Kuala Kedah, Khamis, esok.

Beliau dijadual berbuka puasa bersama penduduk dan bersolat Maghrib di Masjid Taman Uda dan kemudian bersama umat Islam sembahyang Isya' diikuti solat Tarawih di Masjid Kuala Kedah

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berada di negeri ini untuk lawatan rasmi sehari bagi meninjau kembali kerja-kerja menyiapkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kua­rantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam yang terlewat disiapkan..

Sebelum itu beliau dijadual mendengar taklimat pelaksanaan projek daripada syarikat konsesi Northern Gateway.

Ahmad Zahid semasa lawatannya ke projek itu pada 13 April lalu telah mengarahkan projek pembinaan tersebut dipercepatkan dengan fasa pertama perlu disiapkan menje­lang Ogos depan sementara fasa kedua yang melengkapkan kompleks tersebut disempurnakan pada 31 Disember 2018. 

Jika siap kelak, projek baharu ICQS itu mampu mempercepatkan kelancaran trafik di  pintu masuk sempadan.

Pembinaan ICQS itu sejajar dengan keputusan kerajaan untuk melanjutkan operasi keluar masuk melalui  Bukit Kayu Hitam daripada 18 jam kepada 24 jam. - Kedahnews.com