Trump Buat U-Turn Kempen Anti-Islam?


RIYADH – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijangka cuba ‘memenangi hati’ pemimpin Islam semasa me­nyampaikan ucapan di hadapan kira-kira 50 pemimpin dunia Islam hari ini dengan menekankan harapannya terhadap ‘wawasan kemakmuran Islam’.

Ini jelas bertentangan de­ngan dasar pentadbirannya ber­hubung larangan perjalanan be­berapa negara Islam ke AS selain pelbagai tuduhan anti-Islam pe­­­ mimpin itu semasa berkempen pada pilihan raya presiden tahun lalu.

Ucapan utama Trump yang pertama tentang Islam itu juga disampaikan selepas sehari negara itu menandatangani pelbagai perjanjian bernilai lebih AS$380 bilion (RM1,642 bilion) dengan Arab Saudi, hampir se­pertiga daripadanya berkait de­ngan bidang ketenteraan.

“Hari ini ialah hari yang hebat. Pelaburan yang hebat untuk AS. Ratusan bilion dolar pelaburan masuk ke AS dan peluang pekerjaan,” ujar Trump semalam semasa pertemuan dengan Raja Salman Abdulaziz al-Saud.

Ucapan Trump itu juga disifatkan paling ‘berat’ bagi mana-mana presiden AS namun bagi pe­mimpin berkenaan ia mempunyai risiko tinggi ekoran ke­nyataannya tentang larangan perjalanan dan sikap anti-Islamnya.

Penasihat Keselamatan Negara, HR McMaster berkata, uca­­pan pemimpin tersebut me­ru­pakan ucapan yang ‘memberi perangsang dan berterus terang’.

“Beliau menekankan keperluan untuk menghalang ideologi radikal dan harapannya untuk kemakmuran Islam,” katanya.

Terdahulu semasa pertemuan dengan Raja Salman, kedua-dua pemimpin itu berikrar untuk bekerjasama menewaskan ‘musuh’ mereka dan mengukuhkan hubungan ke arah kedamaian dan kesejahteraan sejagat.

Menurut Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson berkata, perjanjian kedua-dua negara itu merangkumi persenjataan yang bernilai hampir AS$110 bilion (RM475.2 bilion) dan berkuat kuasa serta-merta.

Dalam pada itu, Trump berikrar akan memperbaiki hubungan dengan Bahrain dan berjanji negara itu tidak akan mengalami sebarang ketegangan hubungan dengan pentadbirannya.

“Negara kita mempunyai hu­bu­ngan baik sejak dahulu lagi tetapi wujud ketegangan namun tidak akan ada ketegangan dengan pentadbiran sekarang,” katanya sema­sa sesi bergambar dengan Raja Bahrain, Sheikh Hamad Issa al-Khalifa di sini. – Agensi