KOTA BHARU - Tukang masak dan pembantu kedai makan dari Thailand antara yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan di sekitar Kota Bharu, Tumpat dan Bachok kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri, kelmarin.
Ketua Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Kelantan Siti Khadijah Hamzah berkata, seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Ops Selera antara 9 hingga 10 malam di tiga restoran iaitu di Pauh Panji di Kota Bharu, Bukit Marak, Bachok dan Wakaf Bharu, Tumpat.
Katanya, kesemua ditahan warga Thailand terdiri lapan wanita dan enam lelaki berusia antara 17 hingga 42 tahun.
“Kita melakukan operasi di sekitar kedai makan dan restoran di negeri ini memandangkan kebanyakan pemilik menggunakan khidmat tukang masak dari negara jiran termasuk yang tidak mempunyai pas masuk serta dokumen pengenalan diri sah.
“Namun, mereka melakukan kesalahan kerana mengambil pekerja yang tidak mempunyai pas masuk atau dokumen pengenalan diri yang sah.
“Dalam operasi ini, kita memeriksa tujuh warga tempatan termasuk pemilik restoran dan 17 warga asing sebelum menahan 14 daripada mereka,” katanya di sini, semalam.
Sumber : MyMetro