UMNO Kuala Kedah Saran Mahathir Tanding Di Pekan


ALOR SETAR – Tun Dr. Mahathir Mohamad disaran untuk bertanding di Parlimen Pekan pada Pililhan Raya Umum (PRU) ke-14 jika beliau berani mahu menyingkirkan Perdana, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin berkata, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tentu sedar, Najib mempunyai sokongan padu pengundi Pekan, tetapi sengaja mahu membuat kenyataan seolah-olah beliau habis ikhtiar untuk menggulingkan Perdana Menteri.

“Adalah lebih baik Tun M sendiri bertanding di Pekan untuk melihat sejauh mana penerimaan pengundi antara beliau dan Najib, “ kata Abdullah Hasnan kepada Kedahnews.com hari ini, mengulas mengenai kenyataan Mahathir kepada pengundi di Pekan itu.

Dalam mesej kira-kira empat minit itu, Dr. Mahathir mengharapkan agar penduduk Pekan menolak Najib pilihan raya akan datang kononnya bagi “menyelamatkan negara” ini.

“Sebab itu saya berpendapat bahawa rakyat dan pengundi di Pekanlah yang boleh untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib,” katanya dalam pesanan hampir lima minit yang disiarkan dalam video di Facebook oleh parti baru yang diasaskan Mahathir itu.

Mahathir sebelum ini gagal menjatuhkan Najib dari dalam UMNO sebagaimana yang pernah beliau lakukan terhadap penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kegagalan itu menyebabkan beliau berang sehingga memilih untuk percaya pada sumber portal meragukan, Sarawak Report, yang difahamkan telah mengubahsuai pelbagai dokumen tertentu untuk menjejaskan imej negara, termasuk Perdana Menteri.

Beliau seterusnya bertindak keluar parti dan membentuk sebuah parti baru, PPBM, bersama anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dikatakan kecewa ekoran usaha menjatuhkan Najib gagal sebelum ini.

Menubuhkan parti baru, Mahathir seterusnya sanggup menjalin hubungan akrab dengan DAP, PKR dan PAN sekaligus membentuk sekutu di dalam Pakatan Harapan, serta menolak pelawaan PAS untuk bersama parti Islam itu di dalam Gagasan Sejahtera. - Kedahnews.com