KUALA LUMPUR – UMNO perlu lebih agresif menangkis serangan dan tohmahan bertali arus oleh ‘keyboard warrior’ terhadap parti itu di media sosial, dalam usaha menarik penyertaan lebih ramai golongan muda, demikian saranan beberapa pemimpin muda.
Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Nor Liyana Izzati Mohd Fauzi berkata perkara itu penting bagi mengelak generasi masa kini mempercayai bulat-bulat gambaran negatif serta maklumat tidak sahih disebarkan pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan mereka berisiko menjauhi UMNO, yang akan menyambut ulang tahun ke-71 penubuhannya hari ini. (11 Mei)
Katanya jentera media sosial UMNO melibatkan penggunaan medium seperti Facebook, Twitter dan Instagram perlu diperkasakan lagi dengan menyalurkan fakta jelas bagi memudahkan pemahaman generasi Y berhubung pelbagai isu termasuk fitnah politik yang sering ditimbulkan pihak tertentu untuk menjatuhkan parti.
“Media sosial merupakan sumber rujukan utama belia ketika ini, justeru UMNO perlu mengambil pendekatan serius bersifat menyeluruh dan terancang dalam menyalurkan maklumat berkaitan parti selain menentang segala dakyah terutama daripada pembangkang bagi memastikan parti mendapat sokongan anak muda.
“Sokongan mereka amat penting dalam memastikan UMNO terus relevan seiring usaha meremajakan parti seperti diuar-uarkan pemimpin tertinggi parti sekali gus memastikan persiapan ampuh bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.
Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara dari Tanta, Mesir, Shahrul Naim Mat Ludin berkata pemimpin UMNO daripada semua sayap parti, juga perlu aktif menggunakan platform media sosial serta berinteraksi secara kreatif dengan generasi Y di lapangan terbabit.
Ia, katanya merupakan alternatif terbaik bagi mendekati generasi muda sekali gus mendengar suara hati mereka menerusi kaedah yang lebih mesra, santai dan tidak terlalu protokol.
“Pendekatan aktif di media sosial seperti diamalkan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin antara contoh terbaik yang seharusnya dicontohi anggota UMNO lain dalam usaha menarik sokongan anak muda terhadap parti.
“Pelancaran aplikasi Malaysia4All oleh Penerangan UMNO Malaysia baru-baru ini, dilihat sebagai antara satu langkah positif dan bersifat kehadapan parti dalam menggunakan sepenuhnya medium internet,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan UMNO Malaysia Dr Muhamad Akmal Saleh berkata kredit perlu diberikan kepada kepimpinan tertinggi UMNO kerana tidak ketinggalan menggunakan media sosial sebagai salah satu alat untuk berinteraksi dengan ahli UMNO dan juga rakyat khususnya generasi muda.
“Dulu suara anak muda mungkin susah atau sukar nak didengari sebab pelbagai lapisan perlu dilalui untuk sampai ke pemimpin atasan dan kini kita perlu memberikan kredit kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang aktif dalam media sosial,” katanya.
Beliau berkata pelbagai masalah disuarakan pengikut laman sosial presiden UMNO itu termasuk pemimpin yang lain, dan respons yang diberikan juga tepat dan cepat.
Dr Muhamad Akmal berkata transformasi UMNO juga perlu dilakukan secara dalaman, sambil anggota UMNO perlu lebih terbuka untuk membincangkan usul-usul sensitif orang Melayu seperti hak istimewa orang Melayu supaya dilihat lebih terbuka.
“Kita ada TN50 dengan kita membincangkan wawasan jangka masa 20 hingga 30 tahun yang akan datang jadi kita harus lebih terbuka, ahli UMNO harus mampu untuk duduk berbincang apakah relevannya hak istimewa orang Melayu dan betapa pentingnya hak itu.
“Kita harus lihat UMNO itu relevan bukan saja di mata rakyat Melayu tapi di mata hati setiap rakyat Malaysia,” katanya. – BERNAMA