PUCHONG - Polis sedang menyiasat video kejadian rogol dan rompak yang tular di media sosial dan didakwa berlaku di Bandar Kinrara, Puchong.
Dalam kejadian itu, dua individu yang tidak dikenali masuk ke sebuah pusat hiburan di sini dengan niat untuk merompak premis tersebut.
Tidak berpuas hati dengan hanya merompak, mereka juga bergilir-gilir merogol seorang juruwang di satu sudut tersembunyi di pusat perjudian tersebut.
Rakaman kamera litar tertutup dua lelaki terbabit mengambil giliran merogol mangsa telah tersebar di media sosial, bersama gambar lelaki yang didakwa suspek.
Sehingga jam 11 pagi, rakaman itu telah dikongsi lebih 7,000 kali di media sosial.
Video empat minit juga menyaksikan netizens marah dan menggesa suspek dikenakan hukuman berat atas jenayah yang dilakukan mereka.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata beliau masih belum menerima laporan mengenai kejadian itu.
"Sementara itu, kami akan mengkaji kesahihan video itu," katanya.
Megat berkata pasukan petugas juga telah ditubuhkan untuk mengenal pasti mangsa, suspek dan tempat kejadian.
"Kami berharap mangsa dan pemilik premis akan tampil untuk membantu siasatan," katanya.
Megat juga menasihatkan orang ramai untuk menghentikan semua spekulasi dan berhenti menyebarkan sebarang video.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai jenayah itu perlu menyalurkan maklumat kepada kami di mana-mana balai polis," katanya.
Sumber: mStar