Video: Bagi Saya Minyak Penuh Dulu, Baru Saya Beredar!


TINDAKAN seorang wanita yang berkeras meminta minyak petrol secara percuma di sebuah stesen pam telah mengundang kecaman ramai netizen menerusi media sosial.

Lebih memeranjatkan pelbagai pihak, wanita terbabit malah nekad tidak mengalihkan kenderaanya sekiranya permintaan peliknya itu tidak dilayan.

Insiden aneh yang dipercayai berlaku di sekitar Batu Caves, Selangor dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Chang Lee Ying.

“Hari ini kami didatangi seorang pelanggan wanita yang mahu meminta petrol percuma. Dia kata dia tidak mempunyai wang untuk mengisi petrol.

“Lalu meletakkan keretanya di stesen dan halang pelanggan lain menggunakan salah sebuah pam. Dia juga mahu kami isikan petrol penuh pada keretanya.

“Jika tidak dia tidak akan mengalihkan kereta Proton Wiranya itu. Bukankah ini tindakan lebih kurang seperti menyamun?” soal Lee Ying.

Berdasarkan dua video yang dimuat naik, wanita berkenaan duduk di dalam kiosk stesen minyak berkenaan untuk menunggu permintaanya ditunaikan.

“Boleh awak sahkan yang kereta Proton Wira itu kepunyaan awak?” soal Lee Ying.


“Ya, itu kereta saya yang didaftarkan di bawah nama saya,” jawabnya.

“Jadi awak nak diberikan minyak penuh secara percuma dan jika tidak, awak tidak mahu berganjak, begitu?” soal lelaki itu lagi.

Wanita itu menjawab ‘ya’ dan meminta Lee Ying menyebarkan video itu menerusi media sosial agar satu dunia dapat melihat tindakannya itu.

Tambah wanita tersebut, dia merasakan tindakannya itu adalah tidak salah dan meminta lelaki berkenaan menyebarkan video itu di media sosial.

Difahamkan, wanita itu telah melanggar sebuah kereta yang lain pada malam sebelum insiden itu, menyebabkan keretanya kemek di bahagian depan dan juga belakang.

Sementara itu, ada juga netizen yang menasihatkan agar Lee Ying terus membuat laporan polis untuk mengusir sahaja wanita berkenaan.

Namun, ada juga yang mencadangkan pihak stesen isikan petrol RM10 ke dalam keretanya agar wanita itu beredar segera. – Kedahnews.com