VIDEO: Tergamak Pukul Kucing, Tanam Hidup-Hidup


SEOUL – Tindakan tidak berhati perut seorang pengawal keselamatan yang tergamak memukul dan menanam seekor kucing hidup-hidup telah mencetuskan kemarahan pengguna media sosial di seluruh dunia.

Video yang dimuat naik Yihansol pada 24 April lalu itu menunjukkan pengawal keselamatan berkenaan pada mulanya menunjukkan kawasaan galian lubang yang dipercayai berlaku di kawasan tempat kerjanya di wilayah Dongdaemun, Korea Selatan.

Kemudian lelaki berusia 30-an itu terus menanam kucing berwarna kuning belang yang patah di bahagian kaki kanannya, dipercayai dicederakan oleh lelaki itu.

Selesai menggali, lelaki itu kemudian mengangkat kucing tersebut dan meletakkannya dalam lubang sebelum menghentak kepalanya dengan penyodok menyebabkan haiwan itu pengsan.

Di kesempatan itu, dia terus menimbus lubang tersebut dan dipijak-pijak dengan kakinya agar tanah di sekitar lubang itu mampat.

Sementara itu dalam video kedua pula, kelihatan beberapa individu datang semula ke lokasi kejadian pada waktu malam untuk menggali semula ‘kubur’ haiwan itu, namun malang sudah terlewat.

Ekoran video viral itu, polis Dongdaemun menerima banyak aduan mengenai kejadian tersebut dan meminta pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan.

Menurut sumber, lelaki terbabit bakal didakwa di bawah Akta Perlindungan Haiwan kerana bertindak menanam haiwan berkenaan tanpa mengira ia masih bernyawa.

Selain itu, pemuat naik video itu juga telah melancarkan petisyen bagi menuntut pelaku kejam berkenaan dikenakan tindakan lebih tegas di atas perbuatannya. –Kedahnews.com