Video: "Terlebih" Seksi, Izara Aishah Tampil Mohon Maaf


SELEPAS tersebarnya sebuah rakaman menunjukkan Izara Aishah berpakaian seksi sehingga menampakkan bahagian payudaranya, pelakon itu tampil membuat penjelasan dan memohon maaf.

Izara menerusi satu posting di akaun Instagramnya pagi ini memberitahu rakaman itu merupakan rakaman pada acara yang sudah lama berlalu dan bukannya ketika majlis karpet merah Anugerah Bintang Popular Berita harian (ABPBH3.0) baru-baru ini.

Menurut Izara, dia juga sudah membuat permohonan maaf berkaitan pakaiannya sebelum ini dan dia juga berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama.

“Sebelum ini saya pernah meminta maaf kerana memakai pakaian yang tidak sopan. Selepas itu saya tidak pernah mengulanginya.

“Rakaman itu adalah sebelum saya membuat permohonan maaf dan sejak meminta maaf, saya terus berusaha kearah kebaikan,” jelasnya.

Tambah Izara, rakaman itu mula tersebar di Whatsapp sejak Sabtu lalu dan kemudian menjadi tular di laman sosial.

“Video itu tersebar sejak Sabtu lalu dan kini ia tular di laman sosial pula. Ia merupakan video lama di sebuah acara fesyen, bukan ABPBH baru-baru ini.

“Walaupun saya berasa malu dan sedih dengan tindakan pihak yang menyebarkan video itu tetapi saya mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap kelalaian diri saya sendiri,” katanya lagi.

Izara juga memohon maaf kepada keluarga, peminat serta sesiapa sahaja yang tersinggung dengan rakaman tersebut dan mengakui dia juga sudah memaafkan individu yang telah mengaibkan dirinya.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada keluarga dan peminat serta sesiapa sahaja yang tersinggung dengan video itu dan saya sudah pun memaafkan setiap individu yang telah mengaibkan saya.

“Sekali lagi saya mohon maaf kepada semua. Ini antara saya dan kamu. Insya-Allah, suatu hari anda akan memaafkan saya,” tulisnya mengakhiri kenyataan tersebut. –Kedahnews.com