Video Viral: Di Venezuela Pada 2016, Bukan Di Malaysia - Bukit Aman


PETALING JAYA - Bukit Aman menafikan insiden dua wanita dicukur kepala oleh sekumpulan lelaki yang videonya menjadi tular berlaku dalam negara ini.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datin Asmawati Ahmad, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku di Maracaibo, Venezuela pada 2016.

"Ia bukan berlaku di Malaysia sepertimana difitnah pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan video dan mesej berbaur perkauman itu tular," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam video berdurasi dua minit menunjukkan seorang wanita duduk di bangku plastik dengan seorang lagi wanita berdiri di belakangnya.

Mereka dikelilingi sekumpulan lelaki di dalam sebuah kedai menjual pakaian.

Salah seorang daripada mereka memegang rambut mangsa yang duduk di kerusi dan bertindak mencukur kepalanya.

Seorang lagi mangsa dilihat sedang bercakap dengan salah seorang lelaki sebelum dia diarahkan duduk di kerusi dan dicukur kepalanya.

Asmawati berkata polis telah mengesan sebaran video berserta mesej mendakwa kedua-dua wanita berbangsa India itu ditangkap kerana mencuri di kedai milik peniaga Melayu dan sebagai hukuman kepala mereka telah dicukur.

"Ekoran itu, terkesan pelbagai reaksi berbaur perkauman yang dikongsi secara meluas di media sosial dan rangkaian komunikasi lain," katanya.

Justeru itu, Asmawati menasihati orang ramai agar bijak menilai berita yang dikongsi menerusi laman media sosial dan tidak menjadi mangsa kepada niat serong pihak tertentu.

"Jangan memainkan sebarang isu yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman atau keagamaan sehingga boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini," katanya.


Sumber: mStar