VIRAL: Pelajar Tahfiz Dinobat Juara Matematik Dunia


DUA pelajar Malaysia berjaya mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat emas dalam Pertandingan Matematik Dunia ke-14 2017 (WMC 2017) yang berlangsung di Manila, baru-baru ini.

Media melaporkan, dua pelajar tersebut iaitu Jad Haris Sabaruddin, 12, dari Maahad Tahfiz Tun Abdul Rahman Yakub (MATTARY) dan Najmi Asyraf Abdul Halim, 10, dari Sekolah Kebangsaan Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hasan di Sarawak.

Jad Haris menjuarai Level 4, manakala Najmi Asyraf pula memenangi kategori Level 2 bagi pertandingan yang mengguna pakai Kaedah Matematik Sakamoto dari Jepun dan satu-satunya Pusat Pembelajaran Sakamoto di negara ini terletak di Kuching, Sarawak.

Seramai 25 murid sekolah rendah dari Sarawak telah dipilih mewakili Malaysia ke pertandingan tersebut.

Pemenang lain dari Malaysia yang memenangi perak ialah Airiz Danish (Level 2), Dhania Aniesa Fazzrudin (Level 3), Mia Adriana Muhammad Abu Zaid (Level 3) dan Nasrul Haq Zairon (Level 4).

Manakala pemenang gangsa ialah Aqil Shahiran Mohamad Romi (Level 1), Myra Nisrene Mohd Norazman (Level 1), Muhammad Haris Amzah (Level 1), Faeez Zindanie Mohamad Zakie (Level 1), dan Muhammad Amirul Asyraf Abdullah (Level 1).


WMC asalnya merupakan pertan­dingan tahunan yang diperkenalkan Sistem Pendidikan Sakamoto di Singapura dengan kerjasama Sakamoto Seminar Jepun iaitu sebuah sekolah di Jepun bagi mencari pintar matematik dengan mengaplikasikan kaedah pembelajaran Sakamoto.

Kaedah Matematik Sakamoto ini melibatkan ilmu menganalisis masalah, menentukan fakta daripada persoalan dan memegang hubungan data antara satu sama lain.

Murid yang mengambil bahagian perlu menyusun dan mengaitkan maklumat secara sistematik dalam bentuk jadual dan menterjemah maklumat itu dalam dalam gambar rajah linear.

Gambar rajah linear itu akan digunakan untuk memahami logik pengiraan untuk langkah seterusnya dan persamaan dijana dengan pengiraan akhir.

Sementara itu, menerusi satu temubual bersama media tempatan, Jad Haris menyifatkan kejayaannya adalah hasil usaha, pengorbanan dan sokongan dari ibu bapanya.

Jad Haris berkata, penyertaannya dalam pertandingan itu merupakan kali kedua selepas memenangi pingat perak di Bandung, Indonesia dua tahun lalu.

Bagi Najmi Asyraf yang memenangi pingat emas bagi kategori tahap dua berkata, dia bersyukur kerana pengorbanan ayahnya mengumpul duit untuk ke Manila bersama datuknya bagi memberi sokongan terbalas dengan kejayaan itu. –Kedahnews.com