Wanita Cedera, Motor Kawasaki RR150 Hangus Terbakar

Wanita cedera, motor Kawasaki RR150 hangus terbakar

NILAI - Seorang wanita cedera selepas motosikal ditunggangnya terlibat dengan kemalangan sebelum terbakar di Kilometer 276 Lebuhraya PLUS arah selatan di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu mangsa, Nurul Amira Hamzah,28, menunggang motosikal jenis Kawasaki RR150 secara bersendirian.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd Fauzi Shamir berkata, sebuah jentera dan Pasukan Perubatan dan Tindakan Balas Perkhidmatan (EMRS) dengan kekuatan sembilan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi sejurus mendapat panggilan kecemasan.

"Sebaik kami sampai jam 11.48 malam, didapati motosikal mangsa yang berada di tengah lebuhraya sedang terbakar keseluruhan. Manakala mangsa pula telah pun berada di tepi jalan dengan keadaan muka dan kakinya cedera.

"Rakannya memberitahu kejadian itu berlaku selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah kenderaan tidak pasti, menyebabkan mangsa terjatuh, sebelum motosikal itu terbakar," katanya.

Menurutnya, bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk memadamkan kebakaran dan mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban oleh EMRS.

Sumber: Sinar Harian