Wanita Reka Cerita Konon Diculik Dihukum Penjara 3 Bulan


MAHKAMAH Majistret di Batu Gajah, Perak hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap seorang wanita yang mendakwa dirinya diculik di Taiping, Ipoh pada 3 Mei lalu.

Majistret Mohd Fitri Sadaruddin menjatuhi hukuman terhadap Nurfauzilah Ariffin, 39, selepas meneliti fakta kes pendakwaan terhadapnya yang mencipta cerita dan memberi maklumat palsu berhubung penculikan mengenai dirinya.

Memetik laporan myMetro, Wanita tersebut yang juga isteri kepada anggota polis itu mengaku bersalah atas perbuatannya itu.

Mengikut kertas pertuduhan, 7.30 pagi, pada 3 Mei lalu, di kuarters polis Perak Tengah, dia didapati memberi maklumat palsu melalui aplikasi WhatsApp dengan menghantar pesanan suara meminta tolong.

Selain itu, menerusi Messenger Facebook pula memberitahu berada dalam tahanan seseorang dalam tulisan bahasa Indonesia.

Pendakwaan dijalankan Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala tertuduh diwakili peguam Hannie Soraya Hanafi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum enam bulan dan didenda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes mengenai ‘penculikan’ wanita ini menjadi tular di laman sosial selepas dia mendakwa diculik ketika menghantar barangan kepada pelanggan di Taiping, Ipoh pada 3 Mei lalu.

Namun, drama ‘penculikan’ wanita yang juga peniaga dalam talian itu hanya rekaan semata-mata apabila polis berjaya menemuinya sedang bekerja di Taska di Shah Alam, Selangor dalam keadaan selamat, pada 9 Mei lalu.- Kedahnews.com