Warga Emas Maut Terperosok Bawah Lori


SELAMA - Seorang warga emas maut akibat terperosok bawah lori selepas terlibat kemalangan di Jalan Pekan Selama, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, Yaacub Ismail, 63, berasal dari Kubu Gajah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal datang dari arah Pekan Selama menghala ke Kubu Gajah manakala lori terbabit dipercayai hendak keluar simpang dari arah Jalan Lampin menuju ke Pekan Selama.

Menurutnya, pemandu lori berusia 31 tahun yang datang dari Jalan Lampin cuba keluar daripada simpang namun tidak sempat memperlahankan kenderaan akibat brek rosak.

“Mangsa dipercayai tidak dapat mengelak berikutan jarak yang terlalu dekat.

“Dalam masa yang sama, mangsa melanggar hadapan lori sekali gus menyebabkan motosikal serta mangsa turut sama diheret ke bahu jalan,” katanya.

Lian Lay berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa terperosok di bawah lori dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Selama untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Pemandu lori juga didapati positif dadah jenis ganja dan akan direman esok (hari ini) untuk membantu siasatan,” katanya.

Sumber : Sinar Online