11 Projek, Inisiatif Jadikan Cyberjaya Model Bandar Pintar - PM


CYBERJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan 11 projek dan inisiatif utama untuk menjadikan Cyberjaya model Bandar Pintar.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata projek dan inisiatif itu merangkumi pembangunan Cyberjaya City Centre, Cyberjaya Innovation Fund for the Future (CIFF), penubuhan Hab Serantau Teknologi Kewangan (fintech), Cyberjaya Futurise Centre, dan pembangunan Bandar Keusahawanan Lautan Biru (BOET).

Inisiatif lain adalah pelancaran Pusat Big Data Asia, pelaburan Pusat Data Lembah Klang (KVDC), kemudahan internet berkelajuan tinggi, Hospital Cyberjaya, Sensor Applications Innovation Centre (SONIC) serta pengembangan pusat data CBJ4Annex, katanya.

"Bandar pintar merupakan satu pelaksanaan yang inklusif dalam mewujudkan ekosistem teknologi yang menyeluruh dalam kehidupan masyarakat.

"Tidak dinafikan, ia merupakan satu konsep pembangunan yang cukup popular di serata dunia, seiring dengan perkembangan teknologi terkini," katanya ketika melancarkan Bandar Pintar Cyberjaya "Innovation Drives The Smart City Transformation" di sini, semalam.

Hadir sama ialah Menteri Kesejahteraan Bandar dan Wilayah, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh. Omar, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan juga Pengerusi Cyberview Sdn Bhd Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd Datuk Faris Yahaya.

Najib berkata penyediaan ekosistem digital yang kondusif menerusi bandar pintar di Cyberjaya mampu menghubungkan masyarakat dengan segenap infrastruktur yang ada dengan teknologi yang mampu meningkatkan kualiti hidup, pengurusan bandar yang lebih cekap, meningkatkan kelestarian serta pada sama merangsang perkembangan inovasi secara berterusan.

Menurutnya, projek pembangunan Cyberjaya City Centre merupakan pembawa perubahan yang akan melengkapkan lagi transformasi Cyberjaya sebagai Hab Teknologi Global dan bandar pintar.

"Perkembangan ini semestinya selari dengan aspirasi kerajaan dalam memastikan pemerkasaan penggunaan teknologi dalam kalangan rakyat terus disokong dengan penambahbaikan infrastruktur teknologi seperti yang kita lihat di Cyberjaya hari ini (semalam)," katanya.

Mengenai CIFF yang akan diuruskan oleh Cyberview Sdn Bhd, Najib berkata dana bernilai RM100 juta itu adalah untuk menyokong penciptaan dan pemesatan inovasi melalui pelbagai penyelesaian cabaran dalam pembangunan bandar pintar Cyberjaya.

"Dana ini merupakan dana geosentrik yang unik untuk usahawan, pemula niaga mahupun perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dan antarabangsa, bertujuan menjadi pemangkin penciptaan harta intelek melalui Bukti Konsep (POC) dan pembangunan perniagaan berskala bagi projek-projek bandar pintar Cyberjaya," katanya.

Bagi mewujudkan masyarakat tanpa tunai, Najib berkata Cyberview Sdn Bhd, Barrington Group Co. Ltd dan Beijing Fullrich Information Technology Limited menandatangani memorandum persefahaman untuk menubuhkan Hab Serantau Teknologi Kewangan dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Hab ini bakal menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk pembayaran mudah alih, penyelesaian perbankan pintar, pengurusan risiko dan juga analisis data raya.

"Dengan pembukaan hab ini, dianggarkan sejumlah RM60 juta bakal dilaburkan dengan 300 peluang pekerjaan bernilai tinggi dan berorientasikan inovasi akan diwujudkan di sini.

"Dianggarkan sejumlah 3.2 bilion transaksi akan dilakukan pada tahun kelima operasi, bersamaan hampir RM80 bilion nilai transaksi yang melibatkan kira-kira 10 juta pengguna produk teknologi kewangan (fintech)," katanya.

Najib berkata penubuhan Cyberjaya Futurise Centre yang bertempat di Kampus Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) akan bertindak sebagai hab perintis inovasi masa hadapan negara.

Ia bakal menyaksikan para pemain korporat, institusi pengajian tinggi dan para usahawan bekerjasama dan menjana nilai hasilan sebanyak RM100 juta dalam membangunkan inisiatif inovasi secara efektif.

Bagi inisiatif BOET yang bakal dimajukan di tanah seluas empat ekar, Perdana Menteri berkata ia akan memperkukuhkan ekosistem sedia ada di Cyberjaya dalam menyediakan persekitaran yang kondusif untuk usahawan dan pemula niaga.

Ia bukan sahaja dari segi infrastruktur fizikal malahan dari segi peningkatan kemahiran melalui program keusahawanan serta sistem sokongan dan pendedahan kepada rangkaian perniagaan yang lebih luas, katanya.

"Dengan lokasi yang strategik di bahagian selatan Cyberjaya, infrastruktur dan ekosistem semasa yang baik, projek ini dijangkakan akan memberi impak yang besar kepada pembangunan keusahawanan di Malaysia.

"Projek BOET ini mensasarkan lebih 500 peluang pekerjaan dan pewujudan lebih daripada 100 pemula niaga dan 1,200 usahawan terlatih," katanya.

Najib berkata kerjasama strategik antara Cyberview Sdn Bhd dan Winhong Information Technology Co. Ltd., sebuah syarikat teknologi dari China bakal menyaksikan penubuhan Pusat Big Data Asia di Cyberjaya dengan pelaburan bernilai RM100 juta yang akan dilengkapi sistem operasi berasaskan awan.

"Kewujudan pusat ini dalam tempoh lima tahun akan datang dianggarkan mampu menyediakan kira-kira 500 peluang pekerjaan di sini," katanya.

Selain itu, Najib berkata Telekom Malaysia (TM) melalui syarikat milik mereka VADS Bhd akan melabur bagi Pusat Data Lembah Klang (KVDC) dengan jumlah keluasan (GFA) sebanyak 400,000 kaki persegi, berkuasa elektrik 20MW (Megawatt) dan berciri hijau. Pusat ini dijangka dibuka pada tahun depan.

"Pusat data ini akan dihubungkan dengan Pusat Data Iskandar Puteri di mana kedua-duanya akan membentuk infrastruktur pusat data terbesar yang seumpamanya di rantau Asia Tenggara," katanya.

Najib dalam pada itu berkata semua kediaman di Cyberjaya bakal menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi mencecah 1 gigabait sesaat (1Gbps) dengan harga berpatutan yang sebelum ini hanya diguna pakai oleh syarikat perniagaan sahaja.

Sementara itu, katanya, kerajaan juga akan membina sebuah hospital di Persiaran Multimedia di sini yang dijangka siap menjelang 2020 dan bakal melengkapkan perkhidmatan yang disediakan di Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang. - BERNAMA