SETELAH 12 tahun meninggalkan dunia penyampaian berita dan lebih fokus kepada bidang pengacaraan, kini, Wan Kamarudin Wan Ibrahim,47, akan kembali bersiaran.
Bakal muncul sebagai penyampai berita TV AlHijrah, Wan Kamarudin melahirkan rasa teruja untuk membuat kemunculan semula.
“Saya dipelawa oleh Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Izelan Basar. Dah lama tak baca berita, rasa lain juga.
“Insya-ALLAH, segala ilmu di dada akan dikongsi bersama. Satu kelainan yang membuatkan saya teruja untuk bersama Berita AlHijrah,” katanya.
Ujarnya, persetujuan untuk kembali membaca berita adalah disebabkan bahan berita TV AlHijrah yang sering memaparkan isu umat Islam dalam dan luar Negara.
“Ia dikupas secara mendalam dan telus bagi mendidik jiwa penonton secara ilmiah,” katanya.
Bukan sahaja terkenal sebagai seorang yang aktif dalam bidang kemanusiaan, malah penonton pastinya tidak akan dapat melupakan karektornya dengan tagline ‘apa kejadahnya’ yang pernah menjadi ikutan sewaktu mengacarakan sebuah program kemasyarakatan sekitar tahun 2003.
Wan Kamarudin akan berganding bahu dan komited dalam memaparkan persembahan berita yang tersendiri ditemani wajah-wajah sedia ada Berita TV AlHijrah iaitu Ardi Herman Mohd Mardzi, Adi Akmal Sehrom, Syafinaz Yunus dan Nadzirah Sharingat.
Saksikan Wan Kamarudin Wan Ibrahim di kaca televisyen anda tepat jam 8 malam.
Sumber : Sinar Online