1,250 Pek Pakaian, Kuih Raya Diagih Kepada Pasukan Keselamatan


KUALA LUMPUR - Wanita UMNO mengagihkan 11,250 pek sumbangan Aidilfitri berupa pakaian dan kuih raya kepada anggota 13 pasukan beruniform sempena Majlis Jalinan Ramadan Pergerakan Wanita UMNO bersama Pasukan Beruniform semalam.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata program tahunan kali kesembilan itu bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan anggota beruniform terutamanya pasukan keselamatan.

"Program ini telah lama kita jalankan dan pesanan pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada saya adalah supaya menjaga pasukan keselamatan dan keluarga mereka...kami Wanita UMNO memang memandang berat pesanan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Ramadan Pergerakan Wanita UMNO bersama Pasukan Beruniform yang disempurnakan Perdana Menteri.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Shahrizat berkata pihaknya berterima kasih kepada anggota keselamatan yang bertungkus lumus memastikan keselamatan negara.

Sementara itu, Raja Mohamed Affandi berkata sumbangan itu memperlihatkan keprihatinan dan penghargaan Pergerakan Wanita UMNO terhadap pengorbanan pasukan keselamatan.

"Sumbangan ini amat bermakna dan besar pengertiannya kepada kami...ia bukan sekadar menikmati kuih dalam kotak semata-mata tetapi nilainya lebih jauh daripada segalanya.

"Ia adalah bingkisan yang memberi erti tersendiri dan bagi kami ia menunjukkan segala khidmat dan bakti kami dihargai...ini juga akan menjadi pendorong untuk kami terus berkhidmat kepada negara," katanya.

Raja Mohamed Affandi berkata pasukan keselamatan dan unit beruniform akan terus berbakti kepada masyarakat dan memastikan keselamatan negara terus terpelihara.- Bernama