1.6 Juta Penjawat Awam, 7 Juta Penerima BR1M Ceria Menjelang Lebaran


ALOR SETAR - Di sebalik rungutan akibat kemuraman ekonomi dan kenaikan kos hidup, rakyat Malaysia pada umumnya masih mampu tersenyum kerana kerajaan bersedia untuk menyalurkan bantuan khas kewangan.

Antara penerimanya ialah penjawat awam, para pesara serta penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi isi rumah yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan.

BR1M peringkat kedua tahun ini akan dibayar mulai 5 Jun manakala bantuan khas untuk 1.6 juta penjawat awam dan 775,000 pesara kerajaan bakal menerima bayaran tersebut sebelum 9 Jun ini.

Bagi umat Islam, bayaran itu sudah tentu menceriakan hidup mereka untuk membuat  persiapan bagi menyambut  Hari Raya Aidilfitri hujung bulan ini. 

Kira-kira tujuh juta penerima BR1M pada tahun ini pula menerima manfaat yang disediakan kerajaan dengan jumlah peruntukan RM6.8 bilion. 

Kementerian Kewangan semalam mengumumkan, kerajaan bersetuju untuk memberi bantuan khas sebanyak RM500 kepada hampir 1.6 juta kakitangan awam sebagai persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri 2017.

Kata kenyataan itu, bantuan khas RM250 juga akan dinikmati oleh hampir 775,000 pesara kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan mereka.

Pembayaran bagi bantuan khas ini membabitkan anggaran peruntukan kewangan sebanyak RM1 bilion.

Sementara itu peneriman BR1M juga bakal menerima bantuan kali kedua tahun ini  antara RM400 dan RM450  mulai Isnin ini.

Selain itu, golongan fakir dan miskin termasuk anak-anak yatim juga tidak terkecuali menikmati pelbagai bantuan dan sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri daripada agensi dan anak syarikat kerajaan, sektor swasta serta berbagai pertubuhan kebajikan dan politik. 

Di samping itu, masih ramai penduduk Malaysia yang pemurah dan turut membantu golongan yang memerlukan untuk menyambut hari lebaran ini. - Kedahnews.com