2 Exco Kerajaan Negeri Yang Dilantik Ganti Dua Portfolio Exco Lama - MB Perlis


KANGAR - Dua anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Nurulhisham Yaakob dan Asmaiza Ahmad yang dilantik pada 12 Mei lepas mengambil alih portfolio dua exco yang digugurkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata Nurulhisham selaku Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat mengisi portfolio Jafperi Othman iaitu Kemudahan dan Prasarana Awam, Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan dan Kesihatan.

Beliau berkata Asmaiza (ADUN Chuping) pula mengisi portfolio Datuk Sabry Ahmad (Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Pembangunan Wilayah, Koridor, Kawasan Pertumbuhan Baru dan Bandar Baru).

Portfolio enam exco lain dikekalkan dan tiada rombakan dari segi tugasan mereka," kata Azlan kepada pemberita selepas menyaksi Majlis Angkat Sumpah 11 anggota Majlis Perbandaran Kangar (MPK) di Dewan Mesra MPK di sini, semalam.

Beliau berkata 11 anggota MPK berkenaan merupakan anggota yang dilantik semula daripada 24 anggota untuk tempoh setahun berkuat kuasa hari ini manakala baki 13 lagi masih dalam proses tapisan. - BERNAMA