203 Kanak-Kanak Terima Bantuan Baju Raya MPSPK


SUNGAI PETANI - Lebih 200 kanak-kanak kurang bernasib baik membanjiri sebuah pasar raya di sini semalam, untuk memilih pakaian raya masing-masing, hasil sumbangan kerajaan negeri Kedah yang disalur kepada Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).

Masing-masing jelas tidak dapat menyembunyikan kegembiraan ketika mencari dan mencuba pakaian baharu di pasar raya terbabit, antaranya seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU).

"Nur Farah Fazila Suria, 11, yang tidak dapat berjalan sejak kecil, berkata dia gembira kerana dapat memilih pakaian dengan warna kegemarannya.

"Tahun ini saya beli baju dan tudung berwarna hijau," katanya ketika ditemui pemberita di Pasar Raya Besar Mydin Taman Batik, di sini semalam.

Ibunya, Hajara Laupa, 44 berkata, Nur Farah Fazila merupakan anak kedua daripada empat beradik dan mereka sekeluarga tinggal di Flat Paya Nahu.

"Kami berterima kasih atas sumbangan ini yang dapat meringankan sedikit perbelanjaan kami dalam menyediakan persiapan menyambul Aidilfitri kali ini, kerana suami saya Suria Harun, 50 hanya bekerja sebagai pemandu bas," katanya yang datang menemani anaknya itu.

"Adik beradik yatim, Muhammad Syafiq Hakimi Salwa, 11, dan Siti Nur Jamila, 6, pula masing-masing memilih pakaian berwarna ungu dan merah jambu sebagai pakaian raya mereka.

"Tahun ini saya pilih baju jenis kurta berwarna ungu, songkok dan kasut, manakala adik pula memilih baju kurung berwarna merah jambu berserta kasut dan tudung," kata Muhammad Syafiq.

"Menurut kanak-kanak itu dia dan adiknya dijaga nenek mereka Rogayah Yusup, 50 di Kampung Padang Buluh, Sidam selepas kematian ayah akibat kemalangan di tempat kerja kira-kira lima tahun lalu.

"Sementara itu, Yang Dipertua MPSPK, Norizan Khazali berkata program yang julung kali diadakan itu memberi manfaat kepada 203 kanak-kanak yang masing-masing diperuntukkan RM120.

"MPSPK sendiri turun padang mencari anak-anak berusia bawah 12 tahun yang kurang bernasib baik, dari keluarga miskin, fakir, anak yatim dan OKU, untuk menghulurkan bantuan bagi menceriakan lagi sambutan Aidilfitri mereka tahun ini," katanya. - BERNAMA