Seramai 40 jemaah dari Malaysia dianggap bertuah kerana terpilih menjadi tetamu Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud bagi menunaikan ibadat umrah, baru-baru ini.
Program berkenaan dianjurkan Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi melalui kedutaan negara itu di Kuala Lumpur.
Program yang masuk tahun kedua dilaksanakan Kerajaan Arab Saudi itu antara lain bertujuan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan umat Islam tanpa mengira bangsa dan keturunan.
Mereka terdiri daripada pegawai kanan kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mempunyai latar belakang berbeza, dipertemukan dengan kira-kira 200 lagi peserta dari 11 negara di seluruh dunia.
Program Umrah Syaaban 1438 Hijrah itu diisi dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk lawatan ke Kilang Pencetakan al-Quran, Kilang Kiswah (kelambu Kaabah), Muzium Asma ul Husna dan pusat peranginan tanah tinggi Taif, dekat kota Makkah.
Namun, pengalaman paling menarik peluang bertemu dan beramah mesra serta mendengar ceramah yang disampaikan Timbalan Ketua Imam Masjidil Haram, Sheikh Saleh Al Taleb dan Imam Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdullah Abdulrahman Al-Baijan.
Dalam ceramahnya, kedua-dua imam berpengaruh itu menekankan mengenai kesatuan umat Islam dalam mempertahankan kesucian agama serta dua masjid suci iaitu Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.
Selain itu, mereka turut merungkaikan beberapa persoalan yang membelenggu umat Islam termasuk isu perbezaan fahaman dan mazhab sehingga mengakibatkan perpecahan sesama mereka.
Kunjungan 14 hari itu turut memberi peluang kepada peserta menjalani ibadah umrah
di Baitullah selain menziarahi makam Rasulullah SAW di Masjid Nabawi.
Program itu adalah usaha Kerajaan Arab Saudi di bawah pemerintahan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud untuk menyatukan umat Islam dengan mengumpul kekuatan serta kelebihan yang ada pada mereka bagi menghadapi musuh Islam.
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Professor Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, perjumpaan saudara Islam dari beberapa negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Brunei, China, Maldives dan Jepun yang disatukan di Tanah Haram dapat meningkatkan kesatuan yang dibina dengan kalimah tauhid Tiada Tuhan melainkan Allah.
Beliau yang turut serta dalam kunjungan itu berpendapat, program berkenaan membina jaringan dan kolaborasi yang baik bukan sahaja dari sudut peribadatan khusus semata-mata tetapi juga dari segi pendidikan, saintifik, keselamatan, ekonomi dan sebagainya.
“Kelebihan terpenting bagi orang Islam atau Muslim adalah bersaudara,” katanya yang juga Timbalan Pengarah, Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dalam ucapan meraikan semua peserta program itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif program itu, Abdul Kareem I. Al-Rayes, berharap umat Islam bersatu bagi mengelakkan mereka terus berada dalam kedudukan yang lemah dan menjadi sasaran ‘serangan’ musuh.
Sumber : MyMetro