IPOH - Prapembukaan taman tema animasi pertama di Asia, Movie Animation Park Studios (MAPS) di Bandar Meru Raya, di sini, kelmarin menerima sambutan amat menggalakkan apabila dikunjungi lebih 5,000 pengunjung bagi merasai sendiri pelbagai tarikan yang ditawarkan.
Dibuka bermula jam 10 pagi, MAPS memberi kejutan kepada pengunjung melalui promosi khas sempena prapembukaan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan memberikan tiket percuma.
Ahli Lembaga Pengarah MAPS Ramelle Ramli berkata, sempena promosi itu setiap pemegang tiket yang berkunjung ke taman tema animasi terbabit sehingga 1 Julai ini akan diberikan satu tiket percuma, sekali gus memberi peluang untuk berkunjung kali kedua dan tiket berkenaan sah sehingga 30 September depan.
Menurutnya, bagi pemegang pas tahunan dan pas Perak pula, tempoh pas mereka dilanjutkan sehingga 13 bulan bermula semalam.
“Sempena promosi khas ini, harga tiket ditawarkan melalui pembelian secara dalam talian adalah RM131 bagi dewasa, manakala RM104 untuk kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
“Harga ditawarkan berpatutan dan apa yang penting bayaran itu untuk semua tarikan atau permainan yang disediakan di taman tema animasi ini. Pengunjung tidak perlu membuat bayaran tambahan,” katanya.
Katanya, buat masa ini terdapat tiga kawasan yang belum dibuka kerana masih melalui latihan teknikal iaitu The Dream Zone, Blast Off Zone dan Animation Square Zone.
“Kami menjangka menerima 49,000 pengunjung dalam tempoh seminggu pembukaan dan taman tema yang menelan kos RM520 juta itu mampu menampung kehadiran 7,000 orang pada satu-satu masa.
“Tumpuan utama MAPS adalah The Smurfs, The Home of Boboiboy dan kedai aiskrim La Cremeria yang pertama seumpamanya di dunia,” katanya.
Katanya, pihaknya turut membuat penambahan beberapa bahagian baru seperti HyperSpin, Asteroid Attack, The Adventurous Cartoon Factory dan WormHole Technologies.
Sumber : MyMetro