8,000 Cucuk Sate Percuma Diedar Kepada Orang Ramai


SEREMBAN - Sebanyak 8,000 cucuk sate percuma diedarkan kepada orang ramai dalam program Infak Ramadan di Senawang di sini, petang semalam.

Program itu dijalankan hasil kerjasama tiga syarikat iaitu Perodua Sales Senawang, produk kesihatan Al-Jawla Herb dan The Sutra.

Pengurus program, Mohd. Hafizul Haruddin berkata, sate yang diberi kepada orang ramai itu bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan serta sebagai salah satu sumbangan kepada masyarakat.

"Kesemua sate iaitu masing-masing 4,000 cucuk ayam dan daging lembu habis diedarkan dalam masa kurang 30 minit dengan setiap orang dihadkan 10 cucuk sate," katanya selepas program di kawasan tempat letak kereta berhampiran sebuah pusat beli-belah di sini semalam.

Mohd. Hafizul berkata, program kali pertama itu juga bertujuan mempromosi barangan serta produk tiga syarikat yang menganjurkan program berkenaan.

Katanya, program seumpama itu akan diadakan lagi pada masa akan datang dengan konsep berbeza. 

Sumber : Utusan Online