8,800 Warga TNB Berkorban Cuti Raya Demi Kita!


KUALA LUMPUR – Suku daripada seluruh warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) melibatkan seramai 8,800 orang diarahkan untuk bekerja sepanjang sambutan perayaan Hari Raya Aidifitri tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Distribution Network, Bahagian Pembahagian, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, mereka terdiri daripada kakitangan dan petugas-petugas kontraktor TNB.

“Mereka akan bertugas sepanjang perayaan Aidifitri bagi memastikan kelancaran bekalan elektrik demi keselesaan pengguna menyambut Syawal.

“Mereka akan bertugas secara tunggu sedia 24 jam bermula Jumaat ini,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Wan Nazmy berkata, TNB membuat persiapan awal bagi meminimumkan sebarang kemungkinan berlaku gangguan bekalan elektrik sepanjang musim perayaan ini.

Menurut beliau, persiapan itu termasuk membuat pemeriksaan di semua stesen janakuasa dan pencawang.

Selain itu, katanya, penambahbaikan kepada sistem pencawang bagi menampung jangkaan beban yang meningkat di sesetengah kawasan turut dilaksanakan.

“Lebih 60 set janakuasa bergerak (mobile genset), dengan kapasiti antara 125 KVA hingga 1,250 KVA juga berada dalam siap sedia untuk digunakan sebagai punca bekalan alternatif, bergantung kepada keperluan.

“Bagi tujuan itu, kami telah menyerahkan permohonan menggunakan kenderaan berat kepada JPJ negeri bagi membolehkan kenderaan TNB menggunakan lebuhraya ketika tempoh larangan sepanjang musim perayaan nanti,” katanya.

Wan Nazmy turut menasihatkan orang ramai menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk mendapatkan bantuan jika berlaku gangguan bekalan elektrik sewaktu sambutan Aidilifitri.

“Untuk warga kerja yang dijadualkan bertugas pada 1 Syawal, TNB membekalkan mereka dengan juadah raya yang disediakan oleh Persatuan Wanita Tenaga Nasional Malaysia,” katanya. –Kedahnews.com