AFC Bakal Kenakan Hukuman Berat Pada Penjaga Gol JDT


KUALA LUMPUR - Karier penjaga gol Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mohd Farizal Marlias berada dalam ‘bahaya’ apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bakal mengenakan hukuman berat susulan tindakannya mempersoal dan menolak pengadil ketika separuh akhir kedua ketika menentang Ceres Negros FC pada saingan Piala AFC Zon Asia Tenggara, baru-baru ini.

Menurut Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul, pihaknya masih menunggu laporan rasmi pegawai perlawanan yang kemudiannya akan dipanjangkan ke Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu bagi tindakan selanjutnya.

“Saya enggan ulas lanjut, sebaliknya kita tunggu laporan sebab sebarang keputusan yang diambil Jawatankuasa Tatatertib akan berdasarkan fakta dan butiran terkandung dalam laporan itu,” katanya.

Begitupun, menurut bekas pengadil FIFA yang enggan namanya didedahkan, tindakan keterlaluan Farizal itu boleh menyebabkannya digantung beberapa bulan atau didenda jumlah tinggi.

Malah katanya, penggantungan bukan saja membabitkan larangan beraksi bagi saingan Piala AFC musim depan, tetapi dia juga boleh dihalang bermain dalam Liga Malaysia (Liga-M) kerana kedudukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bernaung di bawah AFC.



Sumber: Harian Metro