Afdlin Shauki Sertai Misi Kemanusiaan Bantu Pelarian Syria


SEPANG – Penerbit dan pelawak, Afdlin Shauki bersama enam sukarelawan daripada Yayasan Kubra dan Yayasan Pendidikan Qasimul Ulum semalam bertolak ke Beirut, Lebanon bagi menyertai misi kemanusiaan untuk membantu pelarian Syria di sana.

Afdlin, 46, berkata, misi tersebut yang juga merupakan anjuran yayasan miliknya bertujuan membantu pelarian Syria yang sedang hidup dalam kesusahan dan kelaparan.

Beliau berkata, sebanyak 200 kotak makanan di samping bantuan asas lain seperti ubat-ubatan yang bernilai kira-kira RM100,000 akan diagih-agihkan kepada pelarian terbabit.

"Saya terpanggil untuk me­nyertai misi kali ini selepas tersentuh hati melihat kesusahan pelarian-pelarian tersebut ketika menyertai misi bantuan yang pertama di Jordan kira-kira dua tahun lalu.

"Misi kali ini agak mencabar kerana kami semua belum pernah ke negara itu dan pada masa sama dibuat dalam bulan Ramadan ketika musim panas di Lebanon," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Menurut Afdlin, kumpulannya akan berada di Lebanon selama enam hari dan sepanjang tempoh tersebut, mereka dibantu pasukan misi antarabangsa yang telah berada di sana untuk mengenal pasti dan mengagihkan bantuan kepada pelarian berkenaan.

Dalam pada itu, ketua rombongan kumpulan sukarelawan tersebut, Abdullah Hanif Hassan berkata, bagi membantu pelari­an Syria, pihaknya turut mewujudkan satu tabung khas bagi membolehkan rakyat Malaysia untuk turut sama menyumbang.

Sumber : Utusan Online