Ahli Politik Selangor Digesa Tidak Guna Elemen Istana Untuk Kepentingan Diri

KUALA LUMPUR - Semua ahli politik di Selangor digesa untuk tidak menggunakan elemen istana sebagai 'pintu belakang' demi kepentingan peribadi, kata Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin. 

Beliau mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali pernah beberapa kali menggunakan 'pertolongan' istana dalam berpolitik. 

"Bila UMNO guna sentimen istana pembangkang marah, tetapi ingatkah kita bagaimana Azmin Ali gunakan sentimen istana demi melanggar arahan parti. 

"Azmin guna lobi pintu belakang yang akhirnya kononnya dialah MB terpilih memalukan Wan Azizah dan Anwar. 

"Bukan sahaja dia dapat menjadi Menteri Besar tetapi dia menyebabkan hubungan Anwar dan Sultan Selangor 'panas'. Namun ini juga seharusnya dijadikan peringatan kepada ahli politik supaya berhenti menggunakan sentimen Istana dan seumpamanya. 

"Pendirian saya jelas, bagi saya fungsi masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat harus dipelbagaikan dan masjid harus sentiasa diimarahkan," katanya kepada Antarapos. 

Dakwaan Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard ini merujuk kepada pelaksanaan Langkah Kajang yang dilakukan Azmin untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyandang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor. 

Terdahulu, beberapa ahli politik sama ada daripada parti pembangkang atau pun kerajaan dilaporkan 'berpolitik' dalam masjid yang telah menimbulkan kemarahan pelbagai pihak. 

Selain itu, kontroversi turut tercetus apabila ahli Parlimen Subang R. Sivarasa hadir ke Masjid An Nur Kampung Melayu Subang pada 24 Mei lalu untuk menyampaikan sumbangan RM71,000 bagi diagihkan kepada surau dan masjid di kawasan parlimen berkenaan. 

Sumber : Antarapos