Ahli UMNO Bertambah Hampir 30,000 Dalam Tempoh April, Mei 2017


KUALA LUMPUR  – UMNO men­­catatkan pertambahan ke­ah­lian sebanyak 29,845 orang bagi tempoh April dan Mei lalu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pendaftaran secara atas talian pula menyaksikan sebanyak 15,201 permohonan lengkap telah diterima dari tempoh 20 April hingga 31 Mei lalu.

"Lebih menarik apabila kebelakangan ini ramai yang mendaftar sebagai ahli UMNO secara peribadi di kaunter ibu pejabat parti iaitu kira-kira 300 orang setiap hari. Jumlah ini kita tidak lihat pernah berlaku sebelum ini,” kata Najib.

Menurut beliau kehadiran lebih 100,000 ahli pada Hari Ulang Tahun UMNO Ke-71 lalu melambangkan kekuatan, solidariti dan semangat UMNO yang masih kukuh dalam meneruskan perjuangan kita dan seterusnya mencapai kejayaan le­bih besar pada masa akan datang.

Beliau juga  Pengerusi Barisan Nasional berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini  Jumaat.

Terdahulu Najib yang juga Perdana Menteri menyampaikan ha­diah kepada 17 pemenang cabutan bertuah sempena Hari Ulang Tahun UMNO Ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Mei lalu.

Dalam perkembangan lain semasa mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Pujut, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau me­nye­rahkan segala keputusan kepada BN Sarawak.

Katanya, kepemimpinan ter­tinggi BN pula akan membantu mana-mana perkara yang diperlukan.
“Kita akan menentukan calon sedikit masa lagi apabila saya sen­diri akan bertemu dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg bagi menentukan calon terbaik dalam PRK Pujut nanti,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 4 Julai ini sebagai tarikh hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N74 Pujut.

Sumber: Utusan