Ahli UMNO Perlu Gandakan Usaha Perangi Fitnah, PRU Dijangka Hujung 2017


KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa mahu ahli parti di semua peringkat  menggandakan usaha memerangi fitnah, ugutan serta perang saraf yang datang dalam pelbagai bentuk dan jenis menerusi saluran media.

Beliau berkata,  hanya solidariti rakyat dan ketahanan nasional serta pimpinan terkuat mampu menghalang pihak yang sentiasa mencari alasan untuk campur tangan termasuk menggunakan parti pembangkang bagi mewujudkan ketidakstabilan untuk menukar kerajaan.

Seperti negara Islam lain, Annuar berkata, Malaysia tidak terkecuali daripada menjadi sasaran pihak tertentu terutama daripada agensi-agensi pimpinan yang pro Zionis yang cukup berpengaruh di Amerika Syarikat.

"Dengan menjangkakan PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) akan diadakan pada Ogos atau September atau Oktober nanti, mereka khususnya, DOJ (Jabatan Keadilan Amerika Syarikat), dengan pihak yang mencari kuasa, sekali lagi melancarkan tindakan 'preemptive' mereka ke arah pertukaran rejim dengan satu perancangan halus dan rapi.

"Mereka ini tidak perlukan kebenaran, beban bukti dan tidak perlu mengikut lunas kedaulatan undang-undang negara. Ia cukup sekadar aduan, tuduhan, insinuasi dan persepsi dalam mewujudkan ketidakstabilan sesebuah negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Annuar berkata UMNO  yang menjadi tunjang parti pemerintah, harus berupaya dan melipatgandakan iltizam dalam bersolidariti serta wala' atau kesetiaan kepada pemimpin, bersama saf pimpinan.

"Saya menyeru seluruh ahli UMNO terus mempamerkan ketahanan dan jati diri pada tahap tertinggi bersama semua pihak lain yang sedar serta bersedia memperkasakan perpaduan ummah dan mengukuhkan tahaluf siyasi bersama kita," katanya. - Bernama