Aidilfitri: Kurang Bekalan Kelapa, Harga Santan Mungkin Naik - Peniaga


IPOH - Harga santan di sekitar bandar raya ini mungkin terpaksa dinaikkan menjelang Aidilfitri berikutan kekurangan bekalan kelapa.

Rata-rata peniaga serta pengusaha santan dan kelapa parut berpendapat harga bahan itu akan meningkat kerana permintaan daripada pengguna juga adalah lebih daripada biasa.

Peniaga di Pasar Awam Tanjung Rambutan, Salasiah Othman, 25, berkata kenaikan harga santan tidak dapat dielakkan memandangkan kesukaran mendapatkan bekalan kelapa selain permintaan tinggi daripada kalangan pengusaha dan pelanggan.

Katanya pada masa ini, beliau menjual santan dan kelapa parut masing-masing pada harga RM6.50 dan RM7. 20 sekilogram (kg) namun, ia mungkin dinaikkan lagi dalam masa terdekat.

"Bergantung kepada harga kelapa. Kalau macam sekarang, ia sekitar RM1. 90 sebiji tetapi biasanya kalau lagi sehari dua nak raya, harganya naik sekitar RM2.10 sebiji.

"Kalau keadaan itu berlaku, kita terpaksa jual santan pada harga lebih daripada biasa tetapi untuk kelapa parut tetap sama sebab ia ditetapkan sebagai barang kawalan," katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Seorang lagi peniaga, Badrulhisyam Murzuki, 42, berkata permintaan bekalan santan dan kelapa parut akan meningkat lebih lima kali ganda iaitu sekitar 500 kg hingga 700 kg sehari menjelang Syawal.

"Kalau hari biasa kita boleh jual sekitar 150 kg, sehari tetapi kalau nak dekat raya ia boleh cecah sampai 700 kg.

"Kita memang pesan lebih kelapa untuk menghadapi Hari Raya, tetapi peraih beritahu permintaan tinggi berlaku di merata tempat. Itu yang menyebabkan kita risau bekalan kelapa mungkin tidak cukup," katanya.

Badrulhisyam, yang telah 11 tahun mengusahakan perniagaan itu, yakin kekurangan bekalan serta kenaikan harga santan tidak akan menjejaskan perniagaannya. -BERNAMA