ALOR SETAR - Angan-angan untuk menyarung baju raya yang dibeli oleh anak menantunya lenyap apabila kediaman sepasang warga emas di Kampung Jelutong musnah dalam satu kebakaran petang kelmarin.
Aidilfitri mereka pada tahun ini musnah dan bagaikan sudah tidak bermakna apabila persiapan raya yang disediakan telah hangus dijilat dalam kejadian tersebut.
"Raya tahun ni pak cik sekeluarga tak ada apa, sudah la rumah hangus terbakar, baju raya yang dibeli anak menantu juga turut musnah," kataIsmail Saad, 73.
Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 1.50 petang ketika dia sedang menunaikan solat Zohor, ketika berada pada rakaat kedua, cucunya yang berusia 11 tahun datang memanggilnya dan memberitahu terjadi letupan pada kotak meter elektrik.
"Pak cik sembahyang dah dua rakaat tapi terkejut cucu panggil dan bagi tau ada letupan di kotak meter elektrik.
"Tanpa buang masa pak cik bergegas pi tengok dan nampak api mula menyala. Masa tu tak tau nak fikir apa pak cik terus panggil orang kampung minta tolong tapi maklum saja lah dah waktu siang semua orang pakat pi kerja.
"Isteri pak cik dan ibu mertua serta cucu lari keluar rumah untuk selamatkan diri, mujurlah depa tak cedera," katanya.
Menurutnya, dia tidak sempat untuk menyelamatkan barang-barangan rumah tetapi hanya sempat selamatkan kad pengenalan diri serta geran tanah.
"Pak cik sayang sungguh rumah ni, dan menganggap benda ni ujian buat pak cik sekeluarga," katanya sayu.
Selain itu, beberapa buat kereta miliknya dan anaknya juga turut musnah dalam kebakaran tersebut.
"Tiga buah kereta jenis Honda Civic, Proton Iswara dan Aerobek serta tiga buah motosikal musnah dijilat api. Sekarang ni pak cik hanya berputih mata melihat semua kerosakan itu. Sedih sangat tapi pak cik yakin semua ini ada hikmahnya," katanya.
Sementara itu, Isterinya, Azizah Awang, 67, pula hanya sempat menyelamatkan ibunya Mariam Awang, 90, dan seorang cucunya.
"Masa tu cuma fikir nyawa sahaja dan mak cik tak mampu nak buat apa-apa sebab api terlalu marak.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Firdaus Isa pula berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.54 petang dan tiba di lokasi pada jam 1.59 petang.
"Setiba di lokasi pihak kami mendapati kejadian kebakaran melibatkan rumah dua tingkat kelas B dan tiga buah kereta. Peratus kebakaran dianggar 70 peratus manakala kereta pula 90 peratus musnah," jelasnya.
Katanya operasi berjaya memadamkan api sepenuhnya pada jam 2.23 petang. - Kedahnews.com