Ajak Baca Al-Quran Perbuatan Mulia


SEREMBAN - Bukan satu bidaah, sebaliknya Malaysia #QuranHour merupakan program yang mulia kerana mengajak umat Islam membaca al-Quran.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, ada pihak yang berpendapat Malaysia #QuranHour sebagai bidaah kerana tidak pernah dilakukan ada pada zaman Rasulullah.

“Ya, memang betul tidak ada. Tetapi yang tidak ada itu hanya caranya sahaja.

"Namun, amalan membaca al-Quran itu pula adalah sesuatu yang disuruh dan cara mengajak membacanya itu boleh dilakukan dengan pelbagai cara.

“Oleh demikian, perbuatan yang mengajak masyarakat menjalani ilmu agama, khususnya membaca al-Quran adalah sesuatu yang sangat diredai.

"Kita perlu melihat secara positif di mana impaknya nanti akan memberi rahmat kepada seluruh umat Islam yang mengamalkannya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Mohd Yusof berkata, program bacaan al-Quran selama satu jam itu dianggap sebagai pencetus permulaan bagi mereka yang jarang-jarang atau tidak pernah memegang, mahu pun membaca al-Quran.

"Melalui program sebegini diyakini mereka yang dahulunya tidak pernah membaca atau menyentuh al-Quran akan jatuh cinta kepada kalimah suci ALLAH ini," katanya.

Menurutnya, beliau menyokong penuh penganjuran Malaysia# QuranHour yang dilihat mampu memberi pendedahan agama kepada seluruh umat Islam, serta kembali semula kepada al-Quran

Sumber: Sinar Harian