"Aku Bunuh Kau Nanti" - Wany Hasrita Diugut Peminat Fanatik


Baru saja mengecap nikmat populariti menerusi lagu singlenya Menahan Rindu, penyanyi Wany Hasrita sudah diuji apabila menerima ugutan bunuh menerusi laman Instagram miliknya.

Menurut Wany, kejadian itu berlaku tiga minggu lalu dan dia kini mengambil langkah berwaspada dengan menyimpan segala bukti ugutan tersebut.

“Saya diganggu oleh seorang peminat fanatik menerusi mesej dan komen di laman Instagram.

“Dia menghantarkan komen dan mesej yang berbunyi seperti, ‘jangan sampai aku jumpa kau perempuan miang, aku bunuh kau nanti’.

“Hampir tiga kali saya menyekatnya di laman Instagram dan dia tetap akan muncul dengan nama yang lebih kurang sama dan mengganggu saya.

“Sebagai solusi, saya mengambil tindakan dengan menyimpan segala ‘screen shot’ komen dan mesej yang dia hantar kepada saya. Saya juga memberi amaran kepada dirinya. Saya katakan kepadanya, negara kita ada undang-undang dan pihak berkuasa pasti akan dapat mencari siapakah dia,” katanya, memetik laporan Astro Gempak.

Amaran itu ternyata membuahkan hasil dan Wany memaklumkan individu tersebut tidak lagi mengganggunya.

Memandangkan namanya kini semakin dikenali, Wany akui dia kini sedang menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang.

Dia juga berharap akan dapat berusaha lebih kuat dengan menghasilkan produk yang lebih berkualiti. –Kedahnews.com