Alfatihah... Bekas Ahli Parlimen Larut Raja Ahmad Zainuddin Meninggal Dunia


IPOH - Bekas Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, 69, meninggal dunia akibat jangkitan kuman ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini jam 8.30 pagi tadi.

Adik arwah, Raja Azizah, 56, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, Datin Seri Sabaniah Ahmad Sabri dan tiga anak serta ahli keluarga terdekat.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata, abangnya dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ di sini pada malam Rabu lalu, sebelum koma jam 5 petang semalam.

"Pada kira-kira jam 8.30 pagi tadi abang saya menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, tiga anak dan keluarga terdekat.

"Doktor memaklumkan punca kematian akibat jangkitan kuman," katanya ketika ditemui oleh pihak media di hospital berkenaan sebentar tadi.

Raja Azizah berkata, jenazah dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Seri Ampang B di sini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bendahara di sini selepas solat Jumaat.

Raja Ahmad Zainuddin merupakan bekas anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah dan Adun Batu Kurau serta bekas anggota parlimen Larut dari 1999 hingga 2008.

Selain itu beliau pernah menjadi pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan dan pengarah Lembaga Urusan Tabung Haji.

Beliau juga pernah menjadi ketua editor Berita Perak dan penulis di Berita Harian.

Sumber: Berita Harian