SIK - Berbekalkan pengalamannya lebih 10 tahun dalam dunia masakan, anak muda dari Kampung Paya Terendam dekat sini, Ahmad Basri Selamat, 33, memberanikan diri untuk menjual 'Martabak Tong Drum' sebagai sumber pendapatannya.
Ahmad Basri berkata, tujuh tahun lalu, dia mula menjual martabak di bazar Ramadan Pekan Sik dengan mengambil pendekatan memasaknya di atas tong drum dan sejak itu, ia dikenali sebagai 'Martabak Tong Drum'.
"Sambutan memang amat menggalakkan yang mana setiap hari kami berjaya menjual sehingga 800 keping martabak pelbagai jenis," katanya kepada Bernama, di sini, kelmarin.
Menurutnya, pelanggan boleh memilih jenis martabak yang disukai termasuk martabak inti ayam (RM2), daging (RM2), cendawan (RM3.50), sate (RM6), ketam (RM3.5), ketam berkeju (RM4.50) dan perut (RM7).
"Semuanya istimewa namun yang sering menjadi pilihan pelanggan ialah martabak ketam berkeju, dan dalam sehari hasil jualan mampu mencecah sehingga RM1,800," katanya.
Mengulas mengenai pengalamannya dalam dunia masakan, anak ketujuh dari lapan beradik itu berkata, kesusahan hidup membuatkan dia mengambil keputusan untuk bekerja selepas tamat sekolah rendah.
"Saya bekerja di kantin Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, selama 10 tahun saya mempelajari cara memasak pelbagai jenis makanan.
"Saya kemudiannya memutuskan untuk berniaga sendiri dengan dibantu isteri, Husna Mohd Fauzi (34) dan lapan pekerja," katanya.
Tambahnya lagi, selain 'Martabak Tong Drum' yang kini sudah mendapat tempat di hati pelanggan, dia turut menjual Roti John Master selain turut menawarkan perkhidmatan katering yang beroperasi sejak tiga tahun lalu dengan menjual nasi ayam, nasi daging, cucur udang dan kuey tiaw.
Bagi yang mahu membuat tempahan untuk sebarang majlis termasuklah rumah terbuka, boleh menghubungi talian 013 5082122/011 40382802 atau layari laman sosial Facebook Ahmad Basri untuk maklumat lanjut, katanya. - BERNAMA