Anis Al Idrus Fikir Kahwin Berbanding Hari Raya


SEMAKIN dekat hari nak kahwin, makin berdebar hati pelakon dan pengacara Anis Al-Idrus. 

Kurang lagi sebulan Anis, 29, akan melangsungkan perkahwinannya dengan Aiman Rafzan, 35.

Anis berkata, dia hanya memikirkan kerja dan persiapan kahwin berbanding untuk sambutan hari raya.

"Sekarang ini saya hanya fikir nak cepat habiskan kerja dan boleh fokus pada persiapan perkahwinan pula. Majlis pula tinggal beberapa hari saja. 

"Alhamdulillah persiapan kahwin sudah hampir siap sepenuhnya. Manakala, untuk persiapan hari raya pula, saya serahkan kepada ibu dan ayah untuk uruskan. Tapi saya ada beli biskut dan baju raya.

"Kalau ikutkan hati, saya tak sabar nak cuti panjang untuk selesaikan semua ini. Selepas itu rehat dan manjakan diri pula," kata Anis ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.


Tambah Anis lagi, dia juga merancang untuk kuruskan badan sebelum hari perkahwinannya.

"Patutnya bulan Ramadan ini senang nak turun berat tapi berbeza pula dengan saya. Tapi saya tak ada masa untuk menjaga pemakanan.

"Lagi-lagi sibuk dengan kerja, perut pun jadi lapar. Bila waktu berbuka, saya makan dengan banyak.

"Saya ada masa lebih kurang 19 hari lagi selepas raya untuk kuruskan badan sebelum majlis pernikahan," ujarnya.

Menurut penyanyi lagu Mengapa ini, majlis pernikahan itu akan diadakan dalam keadaan sederhana yang hanya dihadiri rakan-rakan yang rapat dengan dirinya sahaja pada 7 Julai depan.

Terdahulu, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 24 Mac lalu dalam sebuah majlis tertutup. 

Tunang Anis, Aiman atau Mohd Rafzan Nuhikmal Abdul Halim, 35, mempunyai seorang anak lelaki bernama Aidy Ilham Rafique yang kini sudah berusia 10 tahun hasil perkahwinan terdahulu.

Sumber : Mstar Online