Anwar Tarik Diri, Pembangkang Terus Celaru

  Image result for anwar ibrahim

KANGAR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangkang dilihat terus bercelaru apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim me­ng­u­mumkan tidak akan menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan yang dike­tuai DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurut Perdana Menteri, dalam amalan demokrasi, seseorang tidak boleh mencalonkan diri untuk jawatan Perdana Menteri melainkan parti diwakilinya memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum.

“Maka sebab itu, apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hendak mencalonkan diri menjadi Perdana Menteri, adalah tidak masuk akal kerana mereka hanya ada satu kerusi.

“Sebaliknya parti yang layak jadi pemerintah adalah Barisan Nasional (BN) kerana mempu­nyai 134 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen dengan UMNO memenangi 88 kerusi,” katanya ketika berucap semasa menghadiri Majlis Perdana Menteri Bersama Ke­pimpinan Akar Umbi UMNO Negeri di Dewan Wawasan 2020 di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan kepemimpinan UMNO ne­geri.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau mahu menjenamakan semula program Jom Bantu Rakyat dengan pendekatan tersendiri yang dilancarkannya kepada UMNO dan Kerajaan BN (Barisan Nasional) Bantu Rakyat.

Kata beliau, ini kerana hanya BN dan UMNO yang menjuarai usaha-usaha membantu rakyat dalam segala aspek termasuk ketika negara ditimpa bencana dan musibah.

“Kita lihat, kita ada panglima banjir iaitu Datuk Seri Shahidan yang akan turun ke hulu dan ke hilir membantu rakyat di mana-mana ketika bencana ini,” kata­nya.

Dalam majlis sama, Najib turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM6 juta iaitu RM3 juta bagi kegunaan membaik pulih rumah rakyat dan bakinya untuk membaiki jalan yang rosak.

Perdana Menteri berkata, beliau berharap melalui peruntukan tersebut dapat membantu rakyat negeri ini.

“Saya berharap rakyat negeri ini dapat terus memberi soko­ngan kepada kerajaan BN dan kemena­ngan 3-0 (kemenangan di ketiga-tiga kawasan Parlimen),” katanya.

Sumber: Utusan