Apa Hukum Main Mercun? Ini Pencerahan Mufti Kelantan...


KOTA BHARU - Mercun tidak sepatutnya dikaitkan dengan sambutan Hari Raya kerana bermain dengan bahan berbahaya yang membahayakan diri dan orang lain adalah dilarang dalam Islam, kata Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

"Oleh itu, bermain mercun adalah dilarang,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan tentang kejadian kecederaan yang dialami golongan muda Islam kerana bermain mercun setiap kali menyambut hari Raya.

Setakat ini, sekurang-kurangnya sembilan kes telah dilaporkan pada bulan ini di Kedah, Kelantan dan Pahang.

Selain merisikokan kecederaan badan, Mohamad Shukri juga berkata, disebabkan mengedar, menjual dan memiliki mercun adalah salah di sisi undang-undang negara, oleh itu, umat Islam perlu patuh.

“Islam melarang umatnya dari melanggar undang-undang negara,” ujar beliau.

Mohamad Shukri berkata, Islam melarang seseorang dari meraih keuntungan hasil jualan barang yang terlarang.

“Dalam kata lain, ianya haram,” katanya lagi.

Mereka yang ditangkap menjual bahan yang boleh meletup tanpa permit, boleh dipenjarakan selama tujuh tahun dan membayar denda RM10,000 di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Mengedar, menjual dan memiliki mercun juga adalah kesalahan di bawah Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dijatuhkan hukuman maksima lima tahun penjara atau membayar denda RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Mstar Online