PETALING JAYA - Insiden yang menimpa jejaka berbadan sasa ini Ahad lalu benar-benar menjadi satu dugaan baginya apatah lagi ia berlaku di bulan Ramadan.
Dia menerima kecaman hebat ekoran gambar usahawan kosmestik, Nur Sajat Kamarul Zaman bersama seorang lelaki berbadan sasa dengan wajah ditutup yang dikongsikan Nur Sajat di akaun instagram pada Ahad lalu.
Tempiasnya bermula apabila terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab didakwa ‘mencuri’ gambar-gambar pemuda ini di akaun Instagramnya dan menyiarkannya di media sosial dengan mengaitkan dirinya adalah lelaki 'bertopeng' di dalam gambar Nur Sajat.
Tidak cukup sekadar itu, jejaka yang pernah menyertai pertandingan badan cantik ini juga didakwa netizen sebagai kekasih baharu Nur Sajat, malah ada juga yang mendakwa dia meminati kaum sejenis.
Mohd Tishrin Mohd Adnan, 25, berkata, dia kesal dengan tindakan segelintir netizen yang mengecam dan memfitnah dirinya.
Dia yang lebih dikenali sebagai Yin berkata, paling terkesan adalah keluarganya termasuk rakan-rakan rapat yang terkejut dengan kisah tular berkenaan.
“Saya kesal di atas segala kritikan memberikan kesan kepada ibu bapa saya. Bagaimanapun, saya telah perjelaskan kepada keluarga terutama ibu bapa saya bahawa semua fitnah dan tohmahan itu tidak benar.
“Saya mengenali Nur Sajat sebagai rakan dua tahun lalu, dan pertemuan kami baru-baru ini lebih kepada membincangkan mengenai rancangan perniagaan,” katanya ketika dihubungi mStar Online, sambil menambah bahawa kekecohan yang berlaku membuat beliau tidak keluar rumah seharian.
Pemuda berasal dari Kota Bharu ini berkata, dia kini menjual produk kesihatan makanan dan minuman tambahan untuk kecergasan di samping menjalankan latihan senaman dan panduan diet secara dalam talian.
“Saya merancang untuk membuka kedai menjual produk makanan dan minuman tambahan di Kuala Lumpur tidak lama lagi,” katanya.
Anak keempat daripada lima beradik ini berkata, perniagaannya sedikit terjejas pada hari kisahnya tular di media sosial tetapi kini kembali pulih malah bertambah baik.
“Alhamdulillah, dah ramai yang beli produk dan ada yang ‘repeat order’. Pembeli bukan sahaja bertambah, tetapi pengikut saya di Instagram juga meningkat dari 14,000 kepada 17,000 pengikut hanya dalam masa beberapa hari.
“Saya berharap bisnes yang diusahakan ini terus berjaya dan mendapat sokongan semua,” kata Yin sambil menambah bahawa purata jualan produknya sebelum ini antara 180 dan 200 botol, dan pernah mencecah 350 botol sebulan.
Mengenai tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepadanya, Yin berkata, dia telah memaafkan mereka yang terbabit dan berharap perkara itu tidak berulang lagi.
“Bagaimanapun, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya masih ada pihak yang terus memfitnah tanpa bukti,” katanya sambil menambah mahu terus melangkah ke hadapan.
Terdahulu, Nur Sajat membuat pengakuan kepada mStar Online bahawa gambar berkenaan sebenarnya hanyalah sebahagian daripada strategi pemasaran rangkaian produk kecantikan dan penjagaan diri keluaran syarikatnya, dan lelaki yang ditutup wajah di dalam gambar tersebut bukan kekasihnya.
Sumber : Mstar Online