KULIM - Seorang guru maut di tempat kejadian apabila terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas di Jalan Kulim - Mahang dekat Sungai Kob, pagi semalam.
Mangsa, Umi Nazrah Md Isa, 39, dipercayai memandu sebuah kereta jenis Mitsubishi Mirage dari Sekolah Kebangsaan Lindungan Raja, Sedim untuk menghadiri mesyuarat di Pejabat Pendidikan Daerah Kulim kira-kira jam 8 pagi.
Bagaimanapun, setibanya mangsa di lokasi kejadian yang berselekoh kira-kira jam 8.30 pagi, kereta dipandunya hilang kawalan dan masuk ke arah laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas.
Menurut seorang saksi kejadian yang enggan dikenali, sebelum berlaku pertembungan kereta yang dipandu mangsa kelihatan bergoyang-goyang.
"Ketika itu saya berada di belakang bas kira-kira 500 meter memang nampak kereta dipandu mangsa bergoyang sebelum terbabas ke laluan bertentangan, kereta di hadapan bas di laluan sama dapat mengelak namun bas tersebut tidak sempat dan berlaku kemalangan.
"Saya lihat mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan anggota bomba telah keluarkannya sebelum di serahkan kepada pihak polis, manakala pemandu bas turut mengalami cedera ringan," katanya.
Suami mangsa, Muhamad Fared Idris, 42 berkat,a dia sempat bertemu kali terakhir dengan Allahyarham isterinya ketika ingin keluar dari rumah di Kuala Ketil untuk pergi ke tempat kerja masing-masing.
"Pagi tadi saya sempat berjumpa dengan dia sebelum masing-masing pergi ke tempat kerja, tak ada sebarang perubahan pada dia, tapi dia ada cakap kena hadir mesyuarat pagi semalam.
"Saya hanya mengetahui isteri terlibat kemalangan kira-kira jam 9.30 pagi ketika sedang bersiap sedia untuk mengajar di kelas seterusnya," katanya.
Katanya, dia dan Allahyarham isteri juga telah merancang untuk pulang ke kampung di Yan esok untuk mengambil baju raya yang sudah siap ditempah di sana.
"Arwah ada cakap baju raya sudah siap dan ajak kami pulang ke sana untuk ambilnya, tapi arwah telah pergi dulu. Saya reda arwah pergi dalam bulan Ramadan yang mulia ini," katanya.
Allahyarham meninggalkan empat orang anak berusia tiga hingga 12 tahun dan jenazah akan dikebumikan di Kampung Setar, Sungai Yan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan kejadian dan berkata, Balai Trafik Kulim telah menerima maklumat awam melui kejadian tersebut kira-kira jam 9.22 pagi.
"Hasil siasatan awal mendapati pemandu kereta dalam perjalanan dari arah Mahang ke Kulim manakala pemandu bas dari arah Kulim menuju ke Mahang.
"Apabila sampai di tempat kejadian pemandu kereta dipercayai telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan dan telah bertembung dengan bas tersebut.
"Pemandu bas telah meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut," katanya.
Sumber: Sinar Harian