Azmin Ali Kata Tak Terlintas Nak Jadi Perdana Menteri


SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak pernah membayangkan dirinya menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut Menteri Besar Selangor itu, beliau mahu fokus membangunkan kerajaan negeri di bawah pimpinannya.

“Saya belum terfikir lagi sebab saya tengah sibuk bangunkan negeri Selangor,” katanya  selepas melancarkan edisi khas “A History of Muslim Philosophy” di Perpustakaan Raja Tun Uda, Selangor semalam.

Isu bakal calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) menjadi rumit sejak penyertaan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyertai gabungan itu.

Sebelum ini, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) dilihat tiada masalah mengangkat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri mereka.

Pada Kongres PKR ke-12 bulan lalu, semua pemimpin utama PH mengangkat sepanduk “Anwar PM ke-7, kecuali Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, isu calon Perdana Menteri bukan keutamaan PH ketika ini kerana gabungan itu berusaha memperkemaskan struktur gabungan itu.

“Sekarang ini kita hendak pastikan struktur PH itu diperkemaskan dan beri tumpuan kepada persiapan PRU14.

“Insya Allah, bila diberi sokongan dan mandat, kita boleh duduk bincang siapa yang layak pimpin kerajaan yang baharu. Tetapi, saya ingat itu bukan satu masalah yang akan meruntuhkan PH kerana kita ada keutamaan kita,” katanya lagi.

Malah, Azmin berkata, isu Dr Mahathir menjadi calon Perdana Menteri sekiranya PH memenangi PRU14 tidak timbul.

“Sama ada dia layak atau tidak, akhirnya rakyat yang tentukan. Saya ingat kita kena percaya dengan prinsip di mana rakyat yang tentukan masa depan negara, bukan individu atau parti politik,” katanya.

Nikkei Asian Review (NAR) memetik Dr Mahathir sebagai berkata, walaupun beliau sekali lagi 
dilantik sebagai Perdana Menteri, ia hanya untuk tempoh singkat.

Bercakap di Tokyo kelmarin, bekas Perdana Menteri itu berkata, ada kemungkinan beliau menjadi Perdana Menteri lagi, jika pembangkang memenangi PRU14.

“Jika tiada calon…saya mungkin cuba, tetapi dengan syarat semua pihak bersetuju,” kata Dr. Mahathir yang  dipetik dari NAR.

Sumber : FMT