Baju Melayu Kimono Rekaan Faiz Dickie Hanyalah Parodi


PETALING JAYA - Dahulu personaliti media sosial ini menghasilkan parodi sebagai sindiran sinis terhadap rekaan baju Melayu sempena Aidilfitri yang dianggap pelik dan tidak sesuai sehingga dikritik netizen, tetapi kali ini giliran dia pula dikecam.

Rata-rata netizen tidak berpuas hati dengan baju Melayu kimono 'rekaan' Faiz Dickie atau nama sebenarnya Mohd Nasrul Faiz Abu Azal yang tular di media sosial.

Menerusi gambar Faiz Dickie berpakaian baju Melayu kimono merah, ia turut disertakan keterangan ‘Tampil bergaya di pagi Syawal dengan sepersalinan baju Melayu unik bercirikan pakaian tradisi Jepun. Padanan kain sulam diimport khas dari Narita bersama potongan polos pasti membuatkan ramai jejaka tidak pecah lubang.’

Akibat dikecam, Faiz Dickie tampil memberi penjelasan bahawa baju Melayu yang tersebar di media sosial itu hanyalah parodi yang dibuatnya pada 2014.

“Ketika itu memang saya ada buat parodi, masa tu banyak baju Melayu ala hispter di pasaran dan antaranya mempunyai rekaan yang pelik sehingga dikecam ramai.

“Tapi mungkin ramai tak tahu pasal parodi saya jadi ada yang sebarkan semula gambar baju Melayu kimono itu di media sosial seolah-olah ia adalah baju raya yang sebenar,” katanya kepada mStar Online.

Faiz Dickie memberitahu bahawa ‘baju raya’ berkenaan sekadar imaginasinya yang dilakukan menerusi teknik menyunting gambar.

Namun katanya, hampir setiap tahun gambar tersebut ‘diulang tayang’ terutama menjelang Aidilfitri oleh individu tertentu walaupun ramai pengikut ‘Village People’ sudah tahu ia sekadar parodi.

“Yang mana tak tahu, mereka ingatkan betul-betul, jadi mereka kecam saya kata baju Melayu ni tak sesuailah, tak mengikut adatlah,” katanya.

Ditanya mengenai kecaman netizen, Faiz Dickie berkata, dia tidak melatah kerana baju berkenaan sekadar gambar rekaan semata-mata.

“Kalau mereka yang jual atau reka baju yang pelik-pelik, mungkin mereka terasa bila dikecam. Saya tak anggap ini kecaman, tapi terpaksa beri penjelasan sebab ramai dah salah faham.

“Mengenai baju raya di pasaran yang dikecam kerana buruk atau tidak sesuai , ia berlaku kerana mungkin bagi yang lain melihatnya sebagai gaya yang menarik. Semuanya mengikut pilihan masing-masing,” katanya.

Pada Selasa, Faiz Dickie kembali memuat naik gambarnya ‘memakai’ baju Melayu kimono sebagai penjelasan dengan memberi keterangan secara berjenaka.

"Kalau betullah baju Melayu kimono ini wujud, abang akan pastikan abang bubuh dron kat lengan baju. Jadi, kau nak pergi beraya senang, terbang saja. Haha,” katanya.

Sumber : Mstar Online