Bapa Akui Polis Ditembak Dahi Mahu Berhenti Kerja


KELUARGA kepada pegawai polis yang ditemui mati dengan kesan tembakan di dahi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh mengakui anak mereka pernah menyatakan hasrat ingin berhenti kerja.

Menurut bapanya, Sharif Folidin Jaafar, 63, bukan sekali anaknya Ahmad Al-Syamir menyuarakan hasrat itu sebaliknya berulang kali kerana mengalami tekanan kerja.

“Arwah pernah memberitahu hasrat untuk berhenti kerja sejak dia ditugaskan sebagai pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPD Pasir Puteh pada Mac lalu.

“Beliau berulang kali menyatakan hasratnya itu berikutan tekanan kerja yang dialami dan kami terkejut apabila dimaklumkan tentang kematiannya,” katanya kepada sebuah akhbar tempatan.

Tambahnya, dia sekeluarga bagaimanapun meragui cara kematian bekas pelajar Maahad Hamidiah itu dan berasa kesal dengan penyebaran gambar kematian anaknya.

Selaku bapa, Sharif berharap pihak polis polis menyiasat secara menyeluruh kes kematian anaknya itu.

Difahamkan, kali terakhir Sharif bertemu anak sulung itu adalah sewaktu menghantar arwah ke daerah tersebut selepas Ahmad bermalam di rumah mereka di Hulu Langat, pada Sabtu lalu.

Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan pihak polis sedang menyiasat punca kematian.

Terdahulu, media melaporkan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor ditemui mati dengan kesan tembakan di dahi, kira-kira jam 9.40 pagi kelmarin di pejabatnya.

Tangan kanan mangsa dilaporkan masih memegang sepucuk pistol jenis P99 Walther manakala tubuhnya berlumuran darah. –Kedahnews.com