Batal Hasrat Bawa Ibu Tunai Umrah Kerana Di Tipu Agensi

Image result for ditipu agensi umrah

ALOR SETAR - Seorang penjawat awam, Mohd Kushaimi Md Zale, 37, terpaksa membatalkan hasrat untuk membawa ibunya menunaikan Umrah di Mekkah apabila ditipu oleh agensi umrah sebanyak RM7,600.

Menurutnya, jadual penerbangan untuk mengerjakan umrah itu tidak kunjung tiba dan sudah beberapa kali dimaklumkan bahawa  tarikh penerbangan bersama agensi itu ditunda sejak 8 Mei lalu.

“Saya dimaklumkan semula oleh agensi itu, urusan tunai umrah dijadualkan semula pada 17 Mei dan berlepas ke Arab Saudi, pada 2.45 petang 1 Jun lalu. Saya dan ibu bersama 145 jemaah lain, dari Guar Chempedak, Gurun, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 31 Mei lalu, menaiki bas dengan kutipan RM150 seorang,” katanya.

Tetapi malangnya, setibanya mereka di KLIA pihak agensi memaklumkan kononnya berlaku sedikit masalah dengan penerbangan ke Arab Saudi, sementara itu pegawai pelancongan pula tegaskan tidak ada penerbangan pada hari tersebut.

Sedar dirinya telah ditipu, Kushaimi mendakwa sebelum ini dia telah membayar sejumlah RM7,600 untuk dua jemaah manakala pasport diserahkan kepada seorang ustaz  yang berurusan dengannya bagi pihak agensi di pekan Gurun, 11 April lalu.

“Saya diminta bayar RM3,800 untuk setiap individu. Baki RM3,000 bagi setiap seorang dikatakan ditanggung seorang kenamaan bergelar ‘datuk’, namun, tiada resit diberikan.

“Seorang lagi ustaz bertanggung jawab membuat pengurusan di Kuala Lumpur. Walaupun kedua-dua ustaz itu hadir di KLIA pada hari kejadian, mereka tidak berjaya selesaikan masalah jemaah,” katanya.

Tambahnya lagi, setelah diselidik,  tiada sebarang tempahan tiket dibuat syarikat itu, oleh yang demikian dia bertindak membuat laporan polis dengan harapan agar duit bayaran umrah tersebut dapat dipulangkan semula.

“Saya buat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda supaya polis siasat dan jemaah dapat balik duit,”katanya. - Kedahnews.com