Bawah RM58k, Z900 Bakal Dominasi Jalan Raya Di Malaysia


SETELAH berjaya menambat hati dan minat pencinta motosikal berkuasa tinggi di negara ini bagi kelas naked bike dengan mempertaruhkan Kawasaki Z800, kini Kawasaki Malaysia kembali mempertaruhkan model terbaru bagi kelas super naked iaitu Kawasaki Z900.

Kawasaki Z900 merupakan model supernaked yang memiliki rekaan futuristik dengan elemen reka bentuk sugomi namun mengekalkan ciri pengenalan bagi model Z Supernaked.

Model Z900 ini didatangkan dengan hendal yang lebih lebar dan rendah untuk gaya tunggangan yang sporty dan kedudukan penunggang lebih tegak berbanding model Z800 dan Z1000.


Kedudukan pelananya yang agak rendah iaitu 749 milimeter turut memberikan kelebihan kepada penunggang di mana ia memudahkan pengendalian apabila kedua-dua kaki penunggang mampu mencecah permukaan jalan ketika berhenti.

Apa yang lebih menarik ialah model ini dilengkapi dengan enjin 900cc 4 silinder sebaris yang mana ia mampu menghantar keseimbangan sublime kuasa dan pengendalian ideal buat model supernaked.

Berat jentera ini agak ringan di mana ia menggunakan rangka trellis dengan nisbah berat kira-kira 210 kilogram iaitu 21 kilogram lebih ringan berbanding model Z800.


Didatangkan dengan sistem suspensi fork terbalik 41 milimeter hadapan dan suspense monoshock di belakang dan lengkap dengan pra-bebanan serta hentakan boleh laras.

Bagi menghentikan jentera ini dengan lebih cekap, sistem brek cakera 300 milimeter bersama caliper 4-piston dan cakera 250 milimeter dengan kaliper piston tunggal di belakang dipadankan dengan model ini.

Anggaran harga bagi model ini adalah di bawah RM58,000 seunit. – Kedahnews.com