Bayi 3 Minggu Maut Dipercayai Digigit Anjing


MICHIGAN - AMERIKA SYARIKAT - Seorang bayi perempuan berusia tiga minggu maut dipercayai digigit anjing selepas ditinggalkan keseorangan bersama tiga ekor haiwan itu.

Susannah Jean Murray ditemui dengan keadaan kepala berdarah di sebuah rumah di Grand Rapids Michigan, minggu lalu dipercayai akibat gigitan anjing.

Bayi itu meninggal dunia pada Jumaat  di Hospital kanak-kanak Helen Devos selepas menjalani pembedahan kecemasan selama tujuh jam, lapor WZZZM13.

Polis berkata, bayi berkenaan ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kepala sementara salah seekor daripada anjing di rumah berkenaan ditemui berhampiran bayi dengan darah di sekitar mulutnya.

Jabatan polis Grand Rapids, Sarjan Terry Dixon berkata, kanak-kanak itu ditinggalkan dalam kerusi bayi beberapa minit sementera ibunya berada diluar.

"Ini adalah peringatan penting supaya tidak meninggalkan anak tanpa pengawasan bersama-sama anjing," kata Terry.

Sementara itu, anjing-anjing berkenaan kini dikuarantin di pusat pelindungan haiwan Kent County sementara pegawai perkhidmatan kanak-kanak menilai keselamatan dua kanak-kanak lain yang turut tinggal di rumah berkenaan.

Sumber: Sinar Harian