KLANG - Ketika umat Islam berebut-rebut untuk mengerjakan ibadat pada minggu terakhir Ramadan, ada pula insan yang tidak berperikemanusian yang sanggup mencemarkan bulan suci ini dengan membuang bayinya sendiri di Surau Khusyairiah di Jalan Sungai Udang di sini semalam.
Lebih malang lagi, bayi lelaki yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu ditemukan sudah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, bayi berkenaan ditemukan kira-kira pukul 5.35 pagi oleh seorang penduduk yang datang ke surau itu untuk menunaikan solat Subuh.
"Mayat bayi itu ditemukan di anjung surau berkenaan dengan dibungkus bersama kain baju di dalam sebuah beg plastik.
"Siasatan awal tidak mendapati kesan cedera atau luka pada badan bayi terbabit," katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Alzafny memberitahu, mayat bayi itu telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Surau terbabit terletak berhampiran jalan raya dan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).
"Saya harap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu dapat menghubungi Inspektor Suresh ditalian 0102123186," jelasnya.
Tambah Alzafny, kes disiasatan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Sumber: Utusan