KUALA KRAI - UMNO Kelantan menyerahkan kepada UMNO Bahagian Gua Musang menentukan siapa yang layak mengendalikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri buat sementara waktu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata keputusan itu dibuat memandangkan kawasan itu dikenal pasti sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).
"Kami serakan keputusan itu kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah," katanya ketika ditemui selepas melawat pelajar tahfiz yang nahas dalam kemalangan di Hospital Kuala Krai, di sini, kelmarin
Dalam pada itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyifatkan bekas ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Ab Ghani seorang wakil rakyat yang konsisten dalam khidmatnya.
Beliau bagaimanapun turut berdukacita dengan keputusan Speaker Kelantan yang mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri kosong selepas, Mat Yusoff disahkan muflis.
"Saya ada berhubung dua kali melalui telefon dengan dia (Mat Yusoff) untuk bertanyakan lanjut mengenai berita itu dan dia sudah memberikan penjelasan mengenainya.
"Bagaimanapun, UMNO Kelantan berdukacita atas apa yang berlaku terhadapnya dan kami akan berbincang untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, Mat Yusoff adalah seorang ADUN yang mendapat undian tertinggi sebanyak 3,800 undian dalam PRU yang lalu sudah memegang jawatan di kawasan itu selama tiga penggal. "Ini membuktikan bahawa dia seorang wakil rakyat yang berprestasi baik," katanya.
Sumber: Berita Harian