Benjamin Mora Tak Takut, Tak Bimbang


KUALA LUMPUR – Jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Benjamin Mora tidak bimbang dengan kedudukannya sebaliknya masih yakin mampu mengubah nasib skuad Harimau Selatan itu musim ini.

Meskipun sudah terlepas tiga piala setakat ini dan terbaru tersingkir daripada perebutan Piala AFC, pengendali dari Mexico itu tetap tenang untuk meneruskan cabaran kerana percaya masih mendapat kepercayaan pihak pengurusan kelab.

“Saya tidak takut dan juga bimbang. Tapi jika itu berlaku dan saya dipecat, sudah pasti saya akan sedih.

“Saya masih yakin kerana apa saja yang berlaku, bos lebih mengetahui,” kata Mora merujuk kepada sokongan diberikan pemilik kelab Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sejak mengambil alih tugas daripada jurulatih paling berjaya kelab Harimau Selatan itu, Mario Gomez secara mengejut pada Januari lalu, Mora sudah terlepas tiga kejuaraan – Piala Sumbangsih kepada Kedah, suku akhir Piala FA dengan Pahang dan separuh akhir Piala AFC Zon Asia Tenggara dengan kelab Filipina Ceres Negros.

Kegagalan itu menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir penyokong mereka yang mahukan perubahan barisan kejurulatihan.

Bagaimanapun jurulatih berusia 37 tahun itu tetap menaruh harapan tinggi anak buahnya akan bangkit mengejar kejuaraan Liga Super.

“Kami beraksi dengan baik tapi sudah pasti perlu terus meningkat. Ketika ini kami ada peluang dalam kempen Liga Super dan pemain bersedia untuk berjuang memburu kejuaraan,” katanya.

Johor DT juara tiga kali berturut-turut Liga Super kini dalam kedudukan terbaik untuk meneruskan dominasi itu apabila menduduki tangga teratas dengan 30 mata, diikuti Pahang dan Kedah yang masing-masing terikat 24 mata ketika saingan berbaki sembilan perlawanan.

Sumber: myMetro